ARULSELVARAJ (tengah) berharap pemain akan menunjukkan kesungguhan dan usaha yang lebih daripada 100 peratus. FOTO Ihsan Konfederasi Hoki Malaysia
ARULSELVARAJ (tengah) berharap pemain akan menunjukkan kesungguhan dan usaha yang lebih daripada 100 peratus. FOTO Ihsan Konfederasi Hoki Malaysia
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Jurulatih skuad hoki negara A Arulselvaraj mempunyai resipi tersendiri dalam usaha memastikan pasukannya mencipta kejayaan positif di johanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) di Chennai, India yang akan membuka tirai Khamis ini.

Arulselvaraj berkata, kejohanan terbabit bukan hanya sebagai pemanas badan sebelum ke Sukan Asia, Hangzhou, September ini namun lebih kepada mencari barisan pemain terbaik untuk dibawa ke temasya itu.

Beliau berkata, pemilihan pemain dilakukan meliputi setiap aspek termasuk tahap kecergasan pemain serta pemulihan kembali daripada kecederaan.

"Pasukan sudah melakukan persiapan untuk ke Kejohanan dan melalui fasa kesesuaian fizikal serta program khas bagi memantapkan lagi pasukan.

"Kami juga mendapatkan khidmat Glenn Turner dan Kieran Govers dalam memantapkan lagi corak serangan selain kami turut memberikan tumpuan kepada struktur pasukan ketika melakukan serangan balas.

"Saya berharap di kejohanan ini pemain akan menunjukkan kesungguhan dan usaha yang lebih daripada 100 peratus serta yang paling penting mereka percaya kepada diri sendiri.

"Pasukan juga melakukan persiapan yang maksimum menuju ke kejohanan ini. Jadinya pemain perlu percaya mereka boleh memberikan aksi yang terbaik serta mampu untuk melakukannya," katanya.

Mengikut rekod, siri Jelajah Korea yang lalu membuktikan bahawa Malaysian Tigers bukan lagi pasukan yang sama apabila mereka berjaya bangkit daripada ketinggalan 1-3 pada tiga minit terakhir dan berjaya menamatkan perlawanan dengan keputusan 3-3 menentang Korea.

Malah skuad itu juga mampu melakarkan keputusan seri dengan Sepanyol selain menang ke atas New Zealand.

Kejohanan ATC edisi ke-7 ini menyaksikan Malaysia akan berdepan tuan rumah India, Korea, Jepun, China serta Pakistan dalam perlawanan yang akan berlangsung secara liga sepusingan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Julai 2023 @ 4:04 PM