PEMAIN skuad hoki negara bergambar selepas tiba dari India apabila mereka muncul naib juara ACT. FOTO ROHANIS SHUKRI
PEMAIN skuad hoki negara bergambar selepas tiba dari India apabila mereka muncul naib juara ACT. FOTO ROHANIS SHUKRI
BERNAMA

Kuala Lumpur: Skuad hoki lelaki negara kini dalam fasa persiapan penting menjelang Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China yang dijadual berlangsung dari 23 September hingga 8 Oktober ini.

Dengan sasaran pingat emas bagi memastikan slot ke Sukan Olimpik Paris 2024, Speedy Tigers tidak boleh terlepas peluang ini apabila berhadapan pasukan terbaik Asia di Taman Sukan Terusan Gongshu, selepas dikejutkan pasukan kurang ternama, Jepun dalam final Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018.

Bagi Ketua Jurulatih, A Arulselvaraj tumpuan kali ini adalah mengenai perkara yang perlu diperhalusi termasuk pukulan sudut penalti dan aspek teknikal permainan yang perlu dimantapkan sebelum mereka berlepas ke Hangzhou.

"Tumpuan kali ini pada perkara kecil yang menjebak kami seperti kelajuan bola dan pukulan sudut penalti, perkara paling pokok. Kami akan mengadakan minggu pemerkasaan dengan meneruskan latihan kecergasan dan di gimnasium, tetapi menjauhi daripada hoki dalam pelan persediaan kami," katanya kepada Bernama.

Speedy Tigers mendapatkan kembali khidmat bekas pemain antarabangsa Australia, Kieren Govers dan Glen Turner bagi membantu menguatkan serangan untuk menjaringkan gol dan pukulan sudut penalti untuk seminggu.

Mengenai cabaran utama membawa pulang emas Sukan Asia, Arulselvaraj berkata Kejohanan Piala Juara-Juara Asia (ACT) 2023 di India, baru-baru ini, memberikan pasukan itu pendedahan mengenai pasukan lawan.

"Sudah tentu kami tidak mengetahui bagaimana persiapan mereka untuk Sukan Asia, tetapi kami perlu menghadapi semua negara itu di sana.

"Jadi kami memberi perhatian dan menganalisis apa yang mereka boleh lakukan dan tidak boleh lakukan.

"Adalah lebih baik kami mendapatkan perincian berdasarkan bagaimana kami menghadapi mereka, daripada menyaksikan mereka berlawan dengan pasukan lain. Satu keputusan yang baik," katanya.

Arulselvaraj yang dinobatkan Jurulatih Lelaki Terbaik dalam Anugerah Sukan Negara (ASN) 2022, baru-baru ini, membimbing Speedy Tigers sehingga berjaya muncul naib juara ACT selepas tewas di tangan India di final.

Speedy Tigers dijangka berlepas ke Hangzhou pada 20 September ini, empat hari sebelum perlawanan pertama Kumpulan B menentang Thailand.

Beliau berkata, pasukannya tidak merancang untuk berlepas awal memandangkan keadaan cuaca dan zon waktu adalah sama dengan tempat sendiri, sementara makanan tidak seharusnya menjadi isu kerana pelbagai juadah disediakan di Perkampungan Sukan.

Korea Selatan, Oman, Indonesia dan tuan rumah China adalah pencabar lain dalam kumpulan ini, sementara pasukan nombor tiga dunia India, juara bertahan Jepun, Pakistan, Bangladesh, Singapura dan Uzbekistan berada dalam Kumpulan A.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Ogos 2023 @ 9:05 PM