SKUAD hoki wanita negara menduduki tempat kelima di Sukan Asia Hangzhou, sekali gus layak beraksi di peringkat Kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024, Januari depan. FOTO FB KONFEDERASI HOKI MALAYSIA
SKUAD hoki wanita negara menduduki tempat kelima di Sukan Asia Hangzhou, sekali gus layak beraksi di peringkat Kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024, Januari depan. FOTO FB KONFEDERASI HOKI MALAYSIA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) Wanita Ranchi 2023 di India yang bakal membuka tirai pada 27 Oktober hingga 5 November depan bakal menjadi medan pemilihan pemain 'Malaysian Tigress' ke Kelayakan Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis.

Ketua jurulatih skuad hoki wanita kebangsaan, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim mencabar 20 pemain yang dibawa ke ACT Wanita supaya menunjukkan kebolehan individu dimiliki agar dapat dinilai untuk disenaraikan dalam skuad Kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024 yang dijadual berlangsung Januari depan.

Beliau berkata, barisan pemain dipilih ke kejohanan ACT kali ini terdiri daripada mereka yang memiliki tahap kualiti, skil teknikal dan ketahanan serta kekuatan fizikal bagi memudahkan mereka menyesuaikan diri dengan taktikal pasukan serta tempo perlawanan pantas terutama apabila beraksi di peringkat tertinggi.

Menerusi senarai pemain yang dikeluarkan, Mohd Nasihin berkata, 15 daripadanya adalah anggota skuad Sukan Asia Hangzhou 2022, baru-baru ini, manakala lima lagi adalah muka baharu.

"Pemahaman taktikal pasukan serta kebolehan untuk membuat keputusan di dalam padang adalah kriteria diambil kira selain usaha ditunjukkan oleh setiap pemain dalam merebut tempat serta semangat melawan di atas padang.

"Kami barisan kejurulatihan mengharapkan semua pemain dapat memberikan yang terbaik pada kejohanan ini (ACT Wanita) agar kami dapat mempersiapkan pasukan yang lebih mantap dengan program teliti," katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), hari ini.

Selain tuan rumah, kejohanan ACT Wanita 2023 yang menggunakan format round robin menyaksikan Malaysia akan menerima tentangan China, Jepun, Korea Selatan dan Thailand.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Oktober 2023 @ 9:35 PM