NOR SAIFUL (kiri) pada sidang media hari ini. FOTO MHC
NOR SAIFUL (kiri) pada sidang media hari ini. FOTO MHC
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Tenaga Nasional Berhad (TNB) seharusnya tidak mensia-siakan peluang melakar sejarah dalam saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) apabila berpeluang cerah meraih kejayaan treble buat kali pertama.

Hanya tinggal selangkah lagi untuk pasukan itu merealisasikan sasaran apabila turun pada perlawanan akhir Piala TNB 2024 menentang seteru utama, Terengganu Hockey Team (THT) malam esok di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

Kesungguhan TNB untuk memburu kejayaan treble terserlah dan mereka sudahpun hampir menjaringkan 100 gol keseluruhan dalam saingan musim ini.

Saling mengenali kekuatan dan kelemahan masing-masing selepas dua edisi berturut-turut mempertemukan kedua-dua pasukan ini, jurulatih TNB, Nor Saiful Zaini Nasiruddin mengakui final kali ini tidak mudah.

Kesilapan dalam perlawanan akan memisahkan pasukan juara dan naib juara.

"Saya harap pemain dapat turun memberikan yang terbaik. Jangan bagi peluang kepada lawan dan guna sebaik mungkin peluang terhidang untuk jaringkan gol.

"Jika ada peluang jaringkan gol mereka kena jaringkan gol sebab semua pemain yang bermain bukan hanya untuk TNB tapi mereka juga berpeluang membuktikan mereka layak beraksi bersama pasukan kebangsaan," katanya.

Untuk rekod TNB adalah juara liga 2022 menewaskan THT 3-2 namun tewas kepada THT tahun lalu juga dengan jaringan yang sama.

Sementara itu, kapten pasukan THT, Fitri Saari mengakui TNB adalah pasukan pilihan untuk musim ini dan kehadiran pemain import dari Korea Selatan, Jang Jong-hyun antara kekuatan utama yang dimiliki lawan.

Namun, selaku juara bertahan, THT tidak akan mengalah dan akan cuba untuk mempertahankan piala yang dimenangi tahun lalu.

"THT turun sebagai 'underdog' kami tahu persiapan yang lawan lakukan tapi THT juga mempunyai kombinasi pemain yang berpengalaman jadi kami akan cuba terbaik dalam setiap minit.

"Kita tahu mereka ada Jang yang mana pada aksi separuh akhir Jang jaringkan lima PC (pukulan sudut penalti) jadi untuk final ini kalau boleh kena elak bagi PC untuk lawan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mac 2024 @ 4:40 PM