THT bakal berdepan TNB dalam Piala Sumbangsih Kejohanan Liga Hoki Malaysia (TNB MHL) 2024. FOTO AIDA ADILAH MAT
THT bakal berdepan TNB dalam Piala Sumbangsih Kejohanan Liga Hoki Malaysia (TNB MHL) 2024. FOTO AIDA ADILAH MAT
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pasukan Hoki Terengganu (THT) menetapkan sasaran untuk melakar kejayaan hatrik Piala Sumbangsih apabila Kejohanan Liga Hoki Malaysia (TNB MHL) 2024 membuka tirainya secara rasmi esok.

Mereka akan berdepan pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) 7 Februari ini dalam usaha mengulangi pencapaian tahun lalu dengan kejayaan meraih treble - juara liga, juara TNBMHL dan Piala Sumbangsih selain turut bergelar juara liga pada 2022 dan 2023.

Berbeza dengan penampilan tahun lalu, THT kali ini tampil berbeza dengan mempertaruhkan kepercayaan penuh kepada barisan pemain tempatan tanpa menggunakan sebarang khidmat khidmat import.

Ketua jurulatihnya, Mohd Harfizi Baharom berkata, beliau optimis dengan kemampuan yang dimiliki barisan pemain THT.

"Saya yakin dengan kemampuan pemain tempatan dalam usaha kami mempertahankan tiga piala yang kami menangi biarpun ia bukan mudah.

"Kali ini kami tampilkan 100 peratus pemain tempatan untuk memberi peluang kepada pemain remaja kita bersaing dengan pemain berpengalaman," katanya pada sidang media menjelang perlawanan sumbangsih TNB MHL hari ini.

Pada aksi piala sumbangsih tahun lalu, THT berjaya meraih kejuaraan itu selepas menumbangkan TNB 3-1.

Sementara itu, ketua jurulatih TNB Nor Saiful Zaini Nasiruddin berkata, pasukannya sudah bersedia mengharungi aksi itu dan percaya dengan beberapa muka baharu yang dibawa masuk mampu mengukuhkan lagi kekuatan pasukan.

TNB kali ini tampak serius untuk mencabar kejuaraan liga apabila buat kali pertama mengikat pemain import dari Korea, Jang Jong-hyun yang sebelum ini bersama THT musim lalu.

"Tahun ini ada sedikit perbezaan di mana dua bekas pemain kita sudah kembali iaitu Shello (Silverius) dan Marhan (Jalil).

"Tahun ini juga kita ambil seorang lagi pemain luar dari Korea iaitu Jang (Jong-Hyun).

"Kami juga sudah kumpulkan hampir kesemua pemain dan saya rasa kami sudah bersedia untuk menghadapi perlawanan pertama kami (Piala Sumbangsih)," katanya.

Sementara itu, bagi ketua jurulatih pasukan Negeri Sembilan (NSE), K Rajan mengakui pasukannya berdepan tugas sukar untuk mempertahankan gelaran Piala Sumbangsih TNB MHL Wanita selepas kehilangan beberapa tonggak utama pada musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 January 2024 @ 3:28 PM