AKSI antara Malaysia dan Korea Selatan semalam. FOTO Ihsan FIH/World Sports Pic
AKSI antara Malaysia dan Korea Selatan semalam. FOTO Ihsan FIH/World Sports Pic
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Ketua jurulatih skuad hoki negara, Arul Selvaraj menggesa barisan pemainnya untuk meningkatkan kualiti di posisi pertahanan menjelang pertembungan kedua menentang Kanada di saingan Piala Negara-Negara dekat Potchefstroom, Afrika Selatan, malam ini.

Ia selepas Malaysian Tigers mengalami kekalahan tipis 0-1 kepada Korea Selatan dalam perlawanan pembukaan Kumpulan B, semalam.

Keputusan itu sememangnya bukan permulaan yang dimahukan oleh Arul tetapi beliau yakin barisan pemainnya akan bangkit semula apabila bertemu Kanada.

"Kami perlu memperbaiki kualiti pertahanan terutama dalam soal mengawal pihak lawan serta berada di posisi yang tepat. Kami perlu melakukan yang lebih baik dengan cepat.

"Walaupun tewas dalam perlawanan pertama, saya merasakan pemain bermain dengan penuh semangat dan berdisiplin terutamanya pada suku keempat apabila kami terpaksa bermain dengan kurang seorang pemain kira-kira sepuluh minit.

"Pemain menunjukkan ketabahan dan juga semangat yang tinggi jika dibandingkan dengan pemain Korea," katanya.

Barisan pemain Korea dilihat lebih agresif sejak awal permainan apabila mereka hanya mengambil masa lima minit pertama untuk mendahului menerusi pukulan sudut penalti Jang Jonghyun.

Anak buah Arul cuba melakar kebangkitan, bagaimanapun jaringan yang dicari gagal dihasilkan, sebaliknya keputusan itu kekal sehingga tamat perlawanan.

Kedua-dua pasukan melepaskan peluang menambah jaringan dengan dua penalti stroke Korea Selatan yang diambil Jonghyun dibatalkan pengadil, manakala satu lagi berjaya diselamatkan penjaga gol negara, Hafizuddin Othman.

Malaysia yang turut memperoleh penalti stroke gagal disudahkan Muhamad Razie Rahim apabila pukulannya diselamatkan penjaga gol lawan, Kim Jaehyeon.

Malaysia kini di tangga ketiga kumpulan selepas satu lagi perlawanan membabitkan Jepun dan Kanada berpihak kepada juara Asia 2018 itu dengan keputusan 3-0.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 November 2022 @ 11:37 AM