PEMAIN negara (jersi kuning) berebut bola dengan pemain Korea Selatan. FOTO FIH/World Sports Pic
PEMAIN negara (jersi kuning) berebut bola dengan pemain Korea Selatan. FOTO FIH/World Sports Pic
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Momentum menjulang trofi Piala Sultan Azlan Shah buat kali pertama, baru-baru ini, tidak dapat diteruskan skuad hoki lelaki negara apabila tumpas 0-1 kepada Korea Selatan pada aksi pembukaan Piala Negara-Negara di Potchefstroom, Afrika Selatan, sebentar tadi.

Sebelum ini, mereka menumpaskan lawan sama dalam perlawanan akhir Piala Sultan Azlan Shah yang berkesudahan Malaysia menang 3-2.

Bagaimanapun, aksi di Universiti North-West itu menyaksikan Korea Selatan membalas dendam apabila memperoleh gol kemenangan melalui pakar pukulan sudut penalti mereka, Jang Jonghyun.

Jonghyun tidak mempersia-siakan peluang pada minit keempat apabila menyempurnakan pukulan sudut penalti untuk meletakkan Korea Selatan di depan.

Anak buah A Arul Selvaraj cuba melakar kebangkitan, bagaimanapun jaringan yang dicari gagal dihasilkan, sebaliknya keputusan itu kekal sehingga tamat perlawanan.

Kedua-dua pasukan melepaskan peluang menambah jaringan dengan dua penalti stroke Korea Selatan yang diambil Jonghyun dibatalkan pengadil, manakala satu lagi berjaya diselamatkan penjaga gol negara, Hafizuddin Othman.

Malaysia yang turut memperoleh penalti stroke gagal disudahkan Muhamad Razie Rahim apabila pukulannya diselamatkan penjaga gol lawan, Kim Jaehyeon.

Malaysia kini di tangga ketiga kumpulan selepas satu lagi perlawanan membabitkan Jepun dan Kanada berpihak kepada juara Asia 2018 itu dengan keputusan 3-0.

Malaysia bakal bertemu dengan Kanada esok untuk menghidupkan peluang ke peringkat seterusnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 November 2022 @ 10:12 PM