ZUL Pidaus Mizun (kiri) cuba dikekang pemain Jepun. FOTO Ihsan Hokita
ZUL Pidaus Mizun (kiri) cuba dikekang pemain Jepun. FOTO Ihsan Hokita
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Skuad hoki negara berjaya menempah slot final Piala Sultan Azlan Shah 2022 selepas menumpaskan Jepun 4-2 dalam aksi terakhir round robin sebentar tadi.

Kemenangan itu membolehkan pasukan bimbingan A Arulselvaraj menduduki tempat kedua di belakang Korea Selatan sekali gus berpeluang memperbaiki keputusan 2019 apabila hanya meraih tempat ketiga.

Dalam aksi berdepan negara matahari terbit itu, pasukan negara bermula garang apabila memperoleh dua gol menerusi pakar pukulan sudut penalti Muhamamd Razie Rahim.

Razie tidak berdepan masalah menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit kelapan dan kesembilan bagi membolehkan Malaysia mendahului 2-0 di suku pertama.

Tersentak dengan dua jaringan berkenaan Jepun yang dibimbing Akira Takahashi mula menggandakan asakan sehingga memperoleh beberapa pukulan sudut penalti namun percubaan kali keempat baru menerjah jaring menerusi Kaito Tanaka di minit ke-23.

Bagaimanapun, skuad hoki negara jelas tidak mahu penyokong di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah, Ipoh berada dalam keadaan cemas apabila menjarakkan kedudukan hasil gol padang Nik Aiman Nik Rozemi pada minit ke-30.

Empat minit kemudian Jepun kembali merapatkan kedudukan apabila memperoleh gol kedua menerusi pukulan sudut penalti Shota Yamada. Mereka berpeluang menyamakan kedudukan apabila dihadiahkan penalti stroke pada minit ke-38 selepas Faiz Jali mengasari Koji Yamasaki namun penjaga gol, Hafizuddin Othmand bertindak cemerlamg menyelamatkan pukulan Kosei Kawabe.

Pada suku terakhir Malaysia berjaya menambah gol keempat apabila gerakan satu dua Syafiq Sumantri bersama Najib Abu Hassan berjaya memerangkap pertahanan Jepun.

Syafiq tenang menguis masuk hantaran Najib sebelum skuad negara bermati-matian mempertahankan kubu daripasa dibocori sehingga tamat perlawanan.

Aksi akhir menentang Korea Selatan Khamis ini peluang terbaik buat skuad negara membalas dendam ke atas Korea Selatan di final Piala Asia 2022 dan perlawanan pertama Piala Sultan Azlan Shah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 November 2022 @ 10:08 PM