Kuala Lumpur: Selepas empat perlawanan, bekas juara Divisyen Satu, Olak-PKT Tigers akhirnya meraih kemenangan pertama Liga Hoki Remaja Malaysia (MJHL) selepas menewaskan Sekolah Sukan Tengku Mahkota Ismail (SSTMI) Juniors, 3-1 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil semalam.

Olak dilihat bergelut sejak awal musim selepas tewas 0-2 kepada Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) pada aksi pembukaan, kalah 1-2 di tangan SSP-Thunderbolt serta tunduk 1-4 kepada KLHC.

Ketua jurulatih S Sivabalan nyata lega dengan kemenangan itu kerana ia pasti meningkatkan semangat anak buahnya untuk mengharungi saingan liga selepas ini.

“Pemain menampilkan aksi yang bagus, tapi kesilapan mudah yang dilakukan menjadi punca kegagalan meraih mata selain penyudah yang tumpul.

“Saya rasa kemenangan ini menambahkan keyakinan pemain dan saya harap kami dapat mengekalkan prestasi ini,” katanya.

Olak mudah mendahului 3-0 dalam tempoh 14 minit melalui jaringan Jagveen Singh pada minit kelima, Pavendip Singh (m-8) dan Mohamad Hafiz Aziz (m-14).

Gol saguhati SSTMI dijaringkan Umar Hakkim Robangi pada minit ke-58.

Sementara itu di Stadium Hoki Kuala Lumpur, KLHC sekadar seri tanpa jaringan dengan Politeknik Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Februari 2015 @ 5:46 AM