TNB dijadual memulakan kempen Piala TNB menentang Kuala Lumpur City pada aksi suku akhir pertama Jumaat ini. FOTO HAZREEN MOHAMAD
TNB dijadual memulakan kempen Piala TNB menentang Kuala Lumpur City pada aksi suku akhir pertama Jumaat ini. FOTO HAZREEN MOHAMAD
BERNAMA

Kuala Lumpur: Selepas menamatkan kemarau 21 tahun untuk merangkul kejuaraan Liga Hoki Malaysia (MHL) 2024 semalam, Tenaga Nasional Berhad (TNB) kini dalam misi memburu gelaran ketiga musim ini.

TNB memulakan musim 2024 dengan langkah kanan apabila menjulang Piala Sumbangsih selepas menang 3-1, menewaskan Terengganu Hockey Team (THT) awal bulan ini, sebelum mengesahkan kejuaraan liga dengan bergaya selepas membelasah JM Antsbees 22-1 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Skuad kendalian Nor Saiful Zaini Nasiruddin seterusnya dijadual memulakan kempen Piala TNB menentang Kuala Lumpur City pada aksi suku akhir pertama Jumaat ini di Stadium Hoki Nasional, diikuti aksi timbal balik pada Ahad di venue sama dalam memburu gelaran treble itu.

Ketua Pegawai TNB Global Business Solutions (TGBS) Datuk Ahmad Hushairi Ibrahim sambil mengucapkan tahniah, berharap barisan jurulatih dan pemain dapat meneruskan rentak cemerlang dalam menjayakan misi berkenaan.

"Kombinasi barisan pertahanan serta kemantapan pemain serangan berjaya mencatatkan perbezaan gol besar, iaitu 82 jaringan apabila menjaringkan sejumlah 92 gol dan hanya dibolosi 10 gol daripada 10 perlawanan liga untuk muncul juara.

"Saya berharap barisan pemain dapat mengekalkan prestasi cemerlang dan memberi tumpuan sepenuhnya pada perlawanan yang bakal diharungi bagi menjuarai Piala TNB, sekali gus mencapai aspirasi memenangi piala tiga berganda (treble) buat kali pertama," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Kejayaan semalam adalah gelaran MHL keenam buat TNB, selepas memenangi liga pada 1990, 1991-92 (bertanding sebagai Kelab Kilat), 2000-2001, 2002 dan 2003.

Pemain TNB juga sedang mendahului senarai penjaring terbaik musim ini, apabila Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal berada di kedudukan teratas dengan 23 jaringan (21 gol padang, dua pukulan penalti), diikuti pemain import dari Korea Selatan Jang Jong Hyun dengan 20 gol (18 pukulan sudut penalti, dua pukulan penalti) dan pemain Nurinsafi Sporting, Nur Rahull Hrsikesa Thaitchana Muruthi dengan 17 gol.

Sementara itu, Nor Saiful berkata objektif TNB mendapatkan khidmat Jong Hyun bagi mempelajari dan meningkatkan kemahiran drag flick selain memperkukuhkan pasukan, tercapai.

Ia berikutan kapten Syed Mohd Syafiq Syed Cholan kini berada di belakang pemain kebangsaan Korea Selatan itu bagi jaringan menerusi drag flick dengan 11 gol pukulan sudut penalti daripada 12 jaringannya.

"TNB mengambil langkah mendapatkan pemain import atas keperluan pembangunan kemahiran tertentu tanpa mengurangkan kebanggaan terhadap pemain tempatan yang terus diberi keutamaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Februari 2024 @ 9:01 PM