SKUAD hoki negara mendengar arahan jurulatih. FOTO MHC
SKUAD hoki negara mendengar arahan jurulatih. FOTO MHC
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Dua gol sumbangan pemain berpengalaman membantu skuad hoki wanita negara menewaskan Singapura 2-0 pada aksi kedua Kejohanan Piala Asia Wanita 2022 yang berlangsung malam tadi di Kompleks Sultan Qaboos, Muscat, Oman.

Tiga mata itu disumbangkan Fatin Shafika Mahd Sukri dan Nuraini Abdul Rashid hasil pukulan sudut penalti dan penjaring gol pembukaan negara, Fatin Shafika dipilih selaku pemain terbaik perlawanan.

Malaysia yang dihadiahkan pukulan sudut penalti minit ke-7 berjaya menterjemahkannya kepada jaringan apabila Fatin Shafika bijak menyudahkan flik dilakukan kapten negara, Juliani Mohamad Din.

Berselang seminit kemudian, Malaysia sekali lagi dihadiahkan pukulan sudut penalti dan kali ini giliran Nuraini Abdul Rashid terus meletakkan skuad negara di depan menerusi flik terusnya yang berjaya menewaskan penjaga gol Singapura, Liu Yu Tong.

Aksi suku kedua menyaksikan pasukan negara memiliki peluang untuk terus melebarkan jurang jaringan menerusi dua lagi pukulan sudut penalti minit ke-16 dan 24 namun dinafikan penjaga gol Singapura.

Siti Zulaikha Husain hampir mencatat nama selaku penjaring pada minit ke-41 menerusi pukulan terus ke gawang lawan namun percubaan itu berjaya dihalang penjaga gol kedua Singapura, Felissa Lai.

Usaha akhir skuad negara untuk terus menambah jaringan dengan menggandakan asakan menyaksikan mereka dihadiahkan dua pukulan sudut penalti pada minit ke-51 dan 54 namun gagal menghasilkan gol sekali gus menyaksikan kedudukan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Malaysia akan turun untuk aksi terakhir bagi Kumpulan A bertemu Jepun, malam ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 January 2022 @ 11:02 AM