Reezal Merican (dua dari kiri) menunjukkan plak pelancaran Siri E-Sukan Malaysia 2021. FOTO Aizuddin Saad
Reezal Merican (dua dari kiri) menunjukkan plak pelancaran Siri E-Sukan Malaysia 2021. FOTO Aizuddin Saad
Ferzalfie Fauzi


Putrajaya: Kejohanan Siri E-Sukan Malaysia (MES) yang bermula dari 26 Mac hingga 11 April depan diharap mampu mengubah tanggapan masyarakat dan membuka mata ibu bapa mengenai kepesatan sukan berkenaan.

Pemilik THQ Esports Club, Aimanhaq Zaharudin, berkata penganjuran MES bukan sekadar kejohanan biasa tapi mendapat sokongan daripada tiga kementerian iaitu Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

"Pengiktirafan yang diberikan KBS akan merancakkan pembangunan e-sukan negara kerana penyertaan sukan ini membabitkan segenap lapisan masyarakat, mencipta peluang pekerjaan selain melahirkan atlet e-sukan profesional," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran MES, hari ini.

Ujar Aimanhaq sokongan KKM pula dapat memberi perspektif baharu kepada masyarakat kerana sebagai atlet e-sukan, ketahanan fizikal, mental, diet dan psikologi adalah faktor yang dititikberatkan kepada atlet dalam mendapatkan prestasi yang optimum bagi meraih kejayaan.

"Dengan sokongan KPT, ia akan memberi pendedahan kepada siswa mengenai pentingnya pemikiran kritikal, pemikiran strategi dan 'The Internet of Things' dalam membentuk modal insan yang mampu mendepani cabaran era digital dan ekonomi global," katanya.

Majlis Pelancaran MES disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

MES dianjurkan secara bersama oleh My Events International dan THQ Esports Club.

Bagi penganjuran sulung ini, MES bakal mempertandingkan tiga permainan video paling popular di Malaysia, iaitu Mobile Legends, PlayerUnknown's Battlegrounds (PUBG) serta FIFA 2021 secara dalam talian.

Kejohanan yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM100,000 itu akan dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu saingan kelayakan yang dijadualkan berlangsung 26 Mac hingga 4 April, sementara Pusingan Akhir pada 9 hingga 11 April.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mac 2021 @ 8:08 PM