MUZAFFAR Zuhair atau lebih dikenali dengan nama CHAMAKH juara Piala Komuniti e-Sukan Kuala Lumpur baru-baru ini. FOTO Ihsan ESKL
MUZAFFAR Zuhair atau lebih dikenali dengan nama CHAMAKH juara Piala Komuniti e-Sukan Kuala Lumpur baru-baru ini. FOTO Ihsan ESKL
Syazwan Msar


KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) akan bekerjasama dengan beberapa penggiat eSukan negara bagi merangka program dan aktiviti membabitkan orang ramai sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menterinya Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, orang ramai terutama golongan belia boleh ‘beriadah’ dengan menyertai beberapa pertandingan atas talian yang akan dirangka nanti.

Beliau berkata, pihaknya mahu orang ramai melakukan aktiviti berfaedah dan memberi manfaat kepada mereka sepanjang tempoh PKP.

“Kita memikirkan bagaimana mahu membuat pengisian kepada anak muda iaitu merangka aktiviti dalam tempoh PKP sekali gus akan berbincang dengan wakil e-Sukan nanti.

“Paling utama adalah pengisian yang akan dirangka sepanjang tempoh berada di rumah nanti sekali gus tidak terdedah dengan aktiviti kosong,” katanya, di sini.

Sementara itu, Presiden eSukan Kuala Lumpur (ESKL) Hisham Darus berkata, pihaknya menyambut baik cadangan KBS terbabit malah berjaya menganjurkan kejohanan Piala Komuniti e-Sukan Kuala Lumpur baru-baru ini yang berakhir 29 Mac lalu.

“Penganjuran terbabit jelas sekali mendapat sambutan menggalakan apabila disertai 400 peminat sukan elektronik dengan masing-masing mempamerkan bakat dalam kategori FIFA20.

“Kami memacu kejohanan secara online ini dan menjadi persatuan esports yang pertama menggerakkan inisiatif kejohanan secara atas talian ketika PKP ini berlangsung dan mempromosikan kempen #STAYHOME atau #DUDUKRUMAH,” katanya, di sini.

Hisham berkata, penganjuran itu juga adalah usaha kecil dalam menggalakkan orang ramai supaya sentiasa patuh serta akur dengan arahan kerajaan yang sedang dikuatkuasakan kini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 April 2020 @ 1:47 AM