SHAHELMEY (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian tajaan di antara Joh dan Ahmad Naim. FOTO Ihsan Sabah FC
SHAHELMEY (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian tajaan di antara Joh dan Ahmad Naim. FOTO Ihsan Sabah FC
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Sabah FC menerima tajaan RM5 juta daripada syarikat konsesi air, Jetama Sdn Bhd (Jetama) bagi menghadapi musim baharu Liga Super 2024 / 2025 yang akan bermula bulan depan.

Jumlah itu menjadikan syarikat berkenaan sebagai penaja utama skuad Sang Badak pada tahun ini, menggantikan Sawit Kinabalu pada musim lalu.

Penajaan itu dimeterai dalam satu majlis menandatangani perjanjian yang disaksikan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya selaku Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa), di sini, hari ini.

Mengulas mengenai perkara itu, Shahelmey berkata, Safa menghargai sumbangan Jetama dalam membantu Sabah FC menghadapi musim baharu Liga Super.

"Hari ini kita menyaksikan perjanjian penajaan utama daripada Jetama Sdn Bhd kepada pasukan Sabah FC Sdn Bhd untuk saingan liga bola sepak pada musim ini.

"Selain penajaan kewangan, anak syarikat Jetama iaitu Jetama Water Sdn Bhd juga menandatangani perjanjian untuk membekal air minuman kepada Sabah FC sepanjang musim ini," katanya.

Pengarah Sabah FC, Mohd Joh Wid dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Jetama, Ahmad Naim Uddang menandatangani dokumen perjanjian tajaan berkenaan.

Yang turut hadir pada majlis itu ialah Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Fairuz Renddan dan Pengerusi Jetama, Datuk Yussof Abd Manan.

Sementara itu, Mohd Joh berkata, selain Jetama, beberapa syarikat lagi dijangka tampil menawarkan tajaan kepada Sabah FC sebagai tanda sokongan kepada kelab bola sepak berkenaan.

Katanya, Sabah FC dari semasa ke semasa akan mengumumkan syarikat lain yang menaja pasukan, selain rakan strategik yang akan membantu Skuad Sang Badak pada kali ini.

"InsyaAllah ini akan dapat meringankan beban Sabah FC dalam menanggung kos operasi, manakala rakan strategik pula akan memudahkan operasi kita sepanjang musim ini.

"Kita juga sentiasa mengalu-alukan syarikat swasta terutama syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk tampil membantu Sabah FC," katanya.

Sabah FC mengekalkan hampir semua pemain pada musim lalu, termasuk tujuh pemain import untuk meneruskan aksi Liga Super pada tahun ini selepas berjaya mempertahankan kedudukan ketiga liga pada musim lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2024 @ 10:10 PM