Asrol Awang


Kuantan: Sri Pahang FC (SPFC) menerima tajaan RM1.13 juta daripada syarikat Hakka Clo Plt selama dua musim bagi mengharungi saingan Liga Super musim 2022/2023.

Justeru, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SPFC, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, kelab itu berbesar hati dengan kesediaan Hakka Clo Plt menaja skuad Sri Pahang FC.

"Sebenarnya, SPFC berterima kasih kerana syarikat kelengkapan sukan yang 100 peratus milik bumiputera ini sudi memilih Sri Pahang.

"Kita harap kerjasama yang diberikan ini dapat memberikan impak positif buat kedua-dua pihak sepanjang musim 2022/2023," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis menandatangani perjanjian penajaan kelengkapan sukan dalam saingan Liga Super musim 2022-2023 di Sri Pahang FC Lounge, di sini, malam tadi.

SUFFIAN (dua kiri) bertukar dokumen dengan Soallihin pada majlis menandatangani perjanjian penajaan kelengkapan sukan Liga Super musim depan di Sri Pahang FC Lounge, Kuantan. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG
SUFFIAN (dua kiri) bertukar dokumen dengan Soallihin pada majlis menandatangani perjanjian penajaan kelengkapan sukan Liga Super musim depan di Sri Pahang FC Lounge, Kuantan. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG

Majlis menandatangani perjanjian penajaan itu masing-masing diwakili Mohamed Suffian dari SPFC manakala CEO Hakka Clo Plt, Noor Soallihin Mohamed mewakili syarikat berkenaan.

Sementara itu, Noor Soallihin berkata, pihaknya berbangga kerana dapat bekerjasama dengan Sri Pahang iaitu sebuah pasukan yang mempunyai nama besar dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).

Katanya, pada masa sama, Sri Pahang FC adalah pasukan bola sepak profesional tempatan terkenal.

"Oleh itu kami berharap dapat bersama memacu menaikkan nama Sri Pahang FC sebagai sebuah pasukan yang disegani di dalam Liga Super Malaysia untuk musim 2022-2023.

"Dengan pakaian yang ditaja ini terutama kualiti diharap dapat memberikan keselesaan dan semangat kerana pakaian juga boleh menaikkan motivasi pemain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Disember 2021 @ 11:03 AM