PEMAIN Terengganu FC pada aksi pramusim berdepan Negeri Sembilan FC, Khamis lalu. FOTO TFC
PEMAIN Terengganu FC pada aksi pramusim berdepan Negeri Sembilan FC, Khamis lalu. FOTO TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Selepas mengharungi tiga aksi persahabatan, pengendali Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner melihat pasukannya mampu melangkah lebih jauh lagi dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/2025.

Jelas pengendali kelahiran Croatia yang lebih mesra dipanggil 'Tommy' itu, kekuatan di setiap posisi selain kehadiran tiga pemain tempatan serta empat import baharu menambah lagi kekuatan pasukannya.

Tambahnya, karakter dan kualiti individu yang ada pada pemainnya turut menjadikan skuad bimbingannya tampak lebih padu untuk untuk bersaing memburu sekurang-kurangnya satu trofi selepas hanya muncul naib juara Piala Malaysia pada musim lalu.

"Kelebihan TFC pada musim ini ialah kami mempunyai kekuatan pemain di setiap posisi, malah kami mempunyai dua pemain setaraf pada setiap bahagian dan ianya nampak lebih mantap sebagaimana yang diperagakan dalam tiga aksi persahabatan sebelum ini.

"Dengan karakter yang ada pada setiap pemain ditambah kehadiran Safawi Rasid, Akhyar Rashid dan Akram Mahinan serta tonggak import baharu, saya lihat TFC lebih bersedia dan mampu melangkah lebih jauh lagi pada musim ini.

"Daripada segi penguasaan bola dan keserasian antara pemain juga menampakkan peningkatan, ianya penting buat pasukan untuk merencanakan gerakan untuk memburu jaringan," ujar jurulatih yang bakal memasuki musim kedua membimbing skuad Penyu itu.

Terdahulu pada aksi pramusim, TFC tewas 2-1 kepada Selangor II, membelasah PDRM FC 6-1 dan menang tipis 3-2 menumpaskan Negeri Sembilan FC.

Bagaimanapun secara keseluruhan jurulatih itu akui masih banyak yang perlu diperbaiki menjelang sepak mula Liga M yang dijadualkan bermula pada 10 Mei depan.

"Kita bakal beraksi dalam Kejohanan Empat Penjuru yang bakal bermula 17 April ini, jadi dalam kejohanan itu nanti kita akan cuba perbaiki kelemahan yang dikesan sebelum Liga M membuka tirainya," katanya.

Selain mengekalkan tiga tonggak import musim lalu iaitu Argzim Redzovic, Nurillo Tukhtasinov dan Ivan Mamut, TFC merekrut empat tenaga asing baharu iaitu Ismaheel Akinade, Marin Pilj, Mathew Steenvoorden dan bekas pemain skuad itu musim 2022, Manuel Ott.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 April 2024 @ 6:03 PM