PILJ bakal memakai jersi bernombor 60 itu mampu memantapkan lagi jentera tengah pasukan. FOTO Ihsan TFC
PILJ bakal memakai jersi bernombor 60 itu mampu memantapkan lagi jentera tengah pasukan. FOTO Ihsan TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Jentera tengah skuad Terengganu FC (TFC) bakal bertambah mantap dalam mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga M) bagi musim 2024/2025.

Hal ini kerana naib juara Piala Malaysia musim lalu kendalian Tomislav Steinbruckner itu secara rasmi mengumumkan arkitek baharu kelahiran Osijek, Croatia, Marin Pilj pada hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Mohd Sabri Abas berkata, bekas pemain tengah kelab Varazdin dalam Liga Croatia itu diikat selama semusim sehingga berakhir musim Liga M 2024/2025.

Jelasnya, pemain berusia 27 tahun yang berketinggian 1.65 meter itu secara rasmi mengisi kuota pemain import bebas sekali gus melengkapkan senarai tujuh pemain import pada musim ini.

"Pemain itu (Pilj) sah menjadi menjadi pemain import terakhir skuad TFC pada musim ini dengan kontrak selama semusim, pemain yang menjadi pilihan ketua jurulatih itu adalah import kuota bebas.

"Kita harapkan kehadiran pemain import yang bakal memakai jersi bernombor 60 itu mampu memantapkan lagi jentera tengah pasukan dalam mengharungi kancah Liga M pada musim baharu ini," ujar Mohd Sabri.

Berdasarkan rekod, pakar sepakan percuma itu sudah membuat 48 penampilan dengan meledak tiga gol bersama kelab terakhirnya itu.

Kehadiran pemain itu bakal memberikan peluang yang lebih luas kepada ketua jurulatih selepas sebelum ini mengikat dua lagi tonggak import tengah iaitu Nurillo Tukhtasinov (Uzbekistan) dan pemain kebangsaan Filipina, Manuel Ott selain bekas pemain tengah Kuala Lumpur City FC (KL City FC), Akram Mahinan.

Selain Pilj, Tukhtasinov dan Ott, skuad itu mempunyai empat lagi tenaga import iaitu Ivan Mamut (Croatia), Ismaheel Akinade (Nigeria), Mathew Steenvoorden (Belanda) dan pemain yang masih menunggu status naturalisasi, Argzim Redzovic dari Montenegro.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mac 2024 @ 3:39 PM