AKRAM Mahinan (dua kanan) ketika menjalani latihan bersama rakan sepasukannya di TFC. FOTO Ghazali Kori
AKRAM Mahinan (dua kanan) ketika menjalani latihan bersama rakan sepasukannya di TFC. FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Atas kertas peluang buat 'arkitek' baharu Terengganu FC (TFC), Akram Mahinan untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama pastinya dilihat sukar.

Ini kerana skuad bimbingan jurulatih kelahiran Croatia, Tomislav Steinbruckner atau lebih mesra dipanggil 'Tommy' itu mempunyai tiga tonggak import di posisi tengah.

Selain pemain musim lalu kelahiran Uzbekistan, Nurillo Tukhtasinov, skuad itu kembali mendapat sentuhan bekas importnya, Manuel Ott yang beraksi bersama Kedah Darul Aman FC (KDA FC) musim lalu serta seorang lagi pemain kelahiran Croatia yang bakal tiba tidak lama lagi.

Kehadiran tiga tonggak import tengah itu bakal menyaksikan peluang buat pemain tempatan untuk berada dalam kesebelasan utama dilihat tipis terutama dua pemain import itu sudah membuktikan kemampuan mereka sebelum ini.

Bagaimanapun Akram ketika ditanya mengenai perkara itu melihat ianya satu persaingan begitu sihat lebih-lebih lagi jadual saingan Liga Malaysia (Liga M) pada musim 2024/2025 begitu berbeza berbanding sebelum ini.

"Saya tidak nafikan kehadiran pemain import bakal menyukarkan pemain tempatan untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama pasukan.

"Tapi saya melihat perkara itu dalam sudut positif, ianya persaingan begitu sihat buat semua pemain termasuk saya yang perlu meningkatkan lagi prestasi bagi memikat hati ketua jurulatih.

"Lagipun jadual perlawanan pada musim ini berbeza iaitu sehingga pertengahan tahun depan, jadi sudah pasti Tommy mempunyai perancangan yang tersendiri untuk menggantikan pemain dalam setiap perlawanan bagi mengelak kecederaan.

"Jadi sekiranya saya diberi peluang, sudah pasti saya akan berusaha gigih dengan aksi yang konsisten untuk membantu pasukan memburu kemenangan dalam setiap perlawanan," ujar bekas pemain Kuala Lumpur City FC (KL City FC) musim lalu itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2024 @ 5:49 PM