PEMAIN TFC bakal mengadakan empat aksi persahabatan di Thailand bermula 8 Februari. FOTO Ihsan TFC
PEMAIN TFC bakal mengadakan empat aksi persahabatan di Thailand bermula 8 Februari. FOTO Ihsan TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Kelab Liga Denmark, Odense Boldklub FC bakal menjadi ujian sebenar buat skuad Terengganu FC (TFC) dalam siri aksi persahabatan pramusim di Thailand bermula 8 hingga 13 Februari ini.

Selain menentang kelab skuad kendalian jurulatih kelahiran Sweden, Gert Andreas Alm, pemain skuad Penyu juga bakal membuat perhitungan dengan tiga kelab dari negara Gajah Perang itu.

Empat aksi 'pemanas badan' itu penting buat jurulatih baharu skuad itu, Tomislav Steinbrukner untuk menilai secara keseluruhan prestasi pasukannya yang mula dibentuk pada pada akhir musim lalu terutama dengan kehadiran lima tonggak import baharu dan ramai pemain muda daripada pasukan 'adik', Terengganu FC II (TFC II).

Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC), Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh berkata, perlawanan pertama membabitkan pertemuan dengan kelab Liga Divisyen Dua Thailand, Rajpracha FC pada 8 Februari di Stadium Universiti dan diikuti kelab Liga Divisyen Tiga, Bangkok FC sehari kemudian di stadium sama.

Katanya, perlawanan seterusnya menentang kelab dari Denmark, Odense Boldklub FC di Phantum Stadium pada 12 Februari dan aksi terakhir menentang pasukan Chonburi FC sehari kemudian di Chonburi UTA Stadium.

"Jelajah pramusim ini penting buat barisan kejurulatihan mengenal pasti kelemahan dan kekuatan pasukan sebelum mengharungi aksi Liga Malaysia (Liga M) terutama aksi pertama berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk merebut Piala Sumbangsih pada 24 Februari ini di Stadium Sultan Ibrahim.

"Selain itu ianya bagi memastikan pemain betul-betul bersedia daripada segi kecergasan fizikal dan mental sebelum mengharungi aksi Liga M dan Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia).

"Pertemuan dengan kelab Denmark, Odense Boldklub FC dan pasukan liga utama Thailand, Chonburi FC yang diperkuatkan beberapa pemain kebangsaan negaranya dijangka menjadi ujian sebenar buat pemain.

"Kami meletakkan impian yang tinggi agar pemain dapat segera membentuk keserasian dan gandingan yang mantap walaupun ada muka baharu dalam pasukan musim ini," katanya.

Terdahulu skuad TFC sudah mengharungi lima aksi 'pemanas badan' dalam negara iaitu menentang Kelantan United FC (KCFC) sebanyak dua kali yang berkesudahan kemenangan 2-1 di tempat lawan dan terikat 1-1 di tempat sendiri.

Skuad yang dibantu bekas ketua jurulatih TFC II musim lalu, Badrol Afzan Razali menang besar 6-0 menumpaskan skuad Liga MFL, Kuala Lumpur City FC (KL City FC) selain terikat tanpa jaringan dengan pasukan Liga Super, KL City FC dan Negeri Sembilan FC (NSFC).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Februari 2023 @ 12:28 PM