PILJ dikatakan sudah setuju untuk menyertai TFC dan kini dalam proses dokumentasi.
PILJ dikatakan sudah setuju untuk menyertai TFC dan kini dalam proses dokumentasi.
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pemain tengah kelahiran Croatia, Marin Pilj menjadi buruan terakhir Terengganu FC (TFC) bagi kuota pemain import skuad itu bagi musim 2024/2025.

Menurut sumber Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, pemain kelab Varazdin dalam Liga Croatia itu hampir pasti menyarung jersi TFC pada musim ini.

Menurutnya, pihaknya kini hanya menunggu surat pelepasan daripada kelabnya sebelum kehadiran pemain berketinggian 1.65 meter itu bumi Terengganu diumumkan secara rasmi.

"Ya, kami berminat untuk mendapatkan pemain kelab Varazdin itu bagi memantapkan lagi jentera tengah pasukan.

"Pemain itu berminat mewakili TFC dan bersetuju menerima lamaran daripada kami.

"Jadi kita tunggu dan lihat perkembangannya, saya jangkakan jika semua dokumentasi selesai, pemain berusia 28 tahun itu akan bersama pasukan pada minggu depan.

"Kita harapkan kehadiran pemain yang sudah menyarung jersi lima kelab berbeza itu mampu memperkasakan lagi jentera tengah pasukan," ujar sumber itu ketika dihubungi.

Setakat ini, TFC sudah mempunyai dua lagi tonggak import di bahagian tengah iaitu pemain musim lalu, Nurillo Tukhtasinov serta bekas kapten Kedah Darul Aman (KDA FC), Manuel Ott.

Jika kehadiran Pilj menjadi kenyataan, TFC mempunyai tujuh tonggak import pada musim ini iaitu Argzim Redzovic, Mathew Steenvoorden, Ismaheel Akinade, Ivan Mamut selain Tukhtasinov dan Ott.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mac 2024 @ 12:46 PM