CALON Pengurus baharu Liverpool, Ruben Amorim. FOTO Agensi
CALON Pengurus baharu Liverpool, Ruben Amorim. FOTO Agensi
Agensi

London: Teka teki pengganti Jurgen Klopp di Liverpool terus hangat diperkatakan selepas calon hangat yang juga bekas pemain kelab itu, Xabi Alonso menolak tawaran berhijrah ke Anfield musim depan.

Susulan itu, muncul calon baharu yang dikaitkan bakal mengisi kekosongan ditinggalkan Klopp sebaik saingan musim ini berakhir, dengan wartawan sukan tersohor Fabrizio Romano seolah mempunyai jawapan tentang itu.

Menerusi perkongsian di laman sosial miliknya, Fabrizio mengaitkan pengurus kelab Sporting Lisbon di Liga Portugal, Ruben Amorim sebagai salah satu calon terbaharu.

Difahamkan, Amorim ketika ini berada dalam senarai paling atas bagi menggantikan Klopp di Liverpool selepas jurulatih dari Jerman itu mengumumkan keinginan untuk berehat seketika daripada membimbing mana-mana pasukan selepas ini.

Dilaporkan Amorim bakal hadir ke sesi temuduga yang akan dijalankan kelab itu tidak lama lagi.

Begitupun, Liverpool perlu berbelanja besar bagi mendapatkan khidmatnya di mana nilai tebus kontrak Amorim dikatakan mencecah RM149 juta.

Namun terdapat juga laporan media yang menjangkakan bayaran pampasan itu jauh lebih rendah pada nilai RM77 juta.

Jika perbincangan berjalan lancar, kemungkinan Amorim adalah pengendali baharu The Reds pada musim depan yang pastinya berdepan tugas berat bagi memastikan Liverpool kekal sebagai pencabar utama Liga Perdana Inggeris (EPL), seperti mana sepanjang di bawah kendalian Klopp.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mac 2024 @ 9:13 AM