XABI Alonso. FOTO Agensi
XABI Alonso. FOTO Agensi
Agensi

London: Xabi Alonso mendedahkan dia memiliki 'banyak sebab' apabila menolak peluang untuk menggantikan Jurgen Klopp sebagai pengendali Liverpool.

Pengendali Bayer Leverkusen yang beraksi selama lima tahun di Merseyside dikaitkan sebagai pengganti Klopp yang membuat keputusan mengejut meninggalkan The Reds selepas lapan tahun bersama pasukan itu.

Tatkala Thomas Tuchel juga bakal meninggalkan Bayern Munich pada musim panas ini, Alonso turut dikaitkan dengan perpindahan ke juara Bundesliga itu namun Alonso menegaskan dia akan kekal bersama Leverkusen.

Dia mengakui membuat keputusan yang 'tepat' untuk kekal bersama Leverkusen dan pengendali Sporting Lisbon, Ruben Amorim kini menjadi calon pilihan untuk menjadi pengurus Liverpool yang baharu.

Selepas 18 bulan, Alonso membawa Leverkusen di ambang kejuaraan liga buat kali pertama dan dia menyatakan 'belum masanya lagi untuk dia berhijrah'.

"Ada banyak sebab yang saya fikirkan (untuk membuat keputusan)," kata Alonso kepada TNT Sports ketika ditanya punca dia menolak tawaran Liverpool.

"Kita sedang membina pasukan dan semangat yang hebat di sini. Ada banyak sebab dan ramai pemain hebat di sini.

"Kami mengharungi musim yang sangat baik dan sudah tentu kami mahu meneruskannya. Saya rasakan saya sudah menjadi sebahagian daripadanya.

"Selepas setahun, saya rasa ini bukanlah masa yang terbaik dan sebab itulah, saya komited (kekal di Leverkusen)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 April 2024 @ 11:53 PM