XABI Alonso pilihan penyokong Liverpool menggantikan Klopp. FOTO AFP
XABI Alonso pilihan penyokong Liverpool menggantikan Klopp. FOTO AFP
Agensi

London: Xabi Alonso adalah pilihan pertama penyokong Liverpool untuk menggantikan Jurgen Klopp sebagai pengurus.

Klopp akan meninggalkan kelab itu pada penghujung musim ini selepas sembilan tahun yang berjaya di Anfield dengan pengendali dari Jerman itu mengakui beliau sudah berasa letih.

Tinjauan Sky Bet Fan View, yang dijalankan oleh YouGov, mendapati 63 peratus penyokong Liverpool mahu jurulatih Bayer Leverkusen, Alonso menjadi pengurus kelab itu.

Bekas pemain tengah The Reds, Alonso, 42, menikmati kempen cemerlang bersama Leverkusen, menumbangkan seteru utama Bundesliga, Bayern Munich 3-0, Ahad lalu untuk mendahului puncak liga dengan kelebihan lima mata.

Leverkusen juga masih bersaing di Piala Jerman dan Liga Europa sekali gus bakal menjanjikan penghujung musim yang menarik.

Legenda Liverpool, Steven Gerrard menduduki tempat kedua dengan 18 peratus dalam kajian yang dilakukan kepada penyokong kelab itu.

Pembantu Klopp, Pep Lijnders menerima lapan peratus; bos Brighton, Roberto De Zerbi empat peratus dan Ruben Amorim, Julian Nagelsmann dan Thomas Frank masing-masing dua peratus.

Bagi memberi lebih 'tekanan' kepada Alonso atau sesiapa sahaja yang menggantikan Klopp, 56 peratus penyokong mahu Liverpool mencabar kejuaraan Liga Perdana pada musim pertama pengurus baharu menerajui kelab itu.

Sementara itu, 73 peratus penyokong menjangkakan Klopp akan meninggalkan kelab itu dengan memenangi sekurang-kurangnya dua trofi musim ini.

Manakala enam peratus merasakan Liverpool akan meraih empat trofi iaitu Liga Perdana, Piala FA, Piala Liga dan Liga Europa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Februari 2024 @ 8:47 AM