JOO Ngan yang menjadi jurulatih sejak 30 tahun lalu berkata, tindakan tegasnya mungkin menimbulkan rasa kurang senang. FOTO Bernama
JOO Ngan yang menjadi jurulatih sejak 30 tahun lalu berkata, tindakan tegasnya mungkin menimbulkan rasa kurang senang. FOTO Bernama
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: "Hati saya sakit," itu kata legenda berbasikal negara Datuk Ng Joo Ngan apabila ada segelintir yang mendakwa bahawa beliau rasis.

Joo Ngan meluahkan rasa kecewa apabila ada ibu bapa pelumba dari Persatuan Berbasikal Kuala Lumpur (KLCA) membangkitkan isu rasis dalam pemilihan pelumba.

Joo Ngan yang menjadi jurulatih sejak 30 tahun lalu berkata, tindakan tegasnya mungkin menimbulkan rasa kurang senang di kalangan ibu bapa mendorong mereka membuat dakwaan itu.

Malah biarpun hanya diberikan elaun RM2,500 sebagai jurulatih Kuala Lumpur ketika di usianya 77 tahun, Joo Ngan tidak pernah mempertikaikannya.

Khidmat Joo Ngan masih relevan apabila berjaya membawa skuad berbasikal negara meraih emas di Sukan Sea Vietnam.

Perkara itu dibangkit oleh ibu bapa yang nyata tidak berpuas hati dengan layanan Joo Ngan selepas pertemuan yang membawa kepada peletakan jawatan Presiden Persatuan Berbasikal Kuala Lumpur (KLCA), Datuk Razlan Razali kurang sebulan selepas bergelar presiden.

Difahamkan, ibu bapa tidak berpuas hati apabila KLCA tidak membayar elaun kepada pelumba tertentu serta layanan umum terhadap pelumba daripada kaum tertentu.

"Kelab kami sangat susah, banyak orang kata pilih kasih, rasis (tetapi) semua itu tipu. Saya mana ada rasis.

"Kalau kamu menjadi jurulatih, kamu tidak boleh berbuat sebegitu," kata Joo Ngan dalam satu sidang media bagi memperjelaskan situasi dialami KLCA selepas Razlan mengeluarkan satu kenyataan di akhbar berbahasa Inggeris mengenai penarikan dirinya sebagai presiden, semalam.

"Jika kata saya rasis, saya tak ambil anak angkat Melayu, saya tak jaga (Datuk) Azizulhasni Awang dulu.

"Saya tak bawa Effandy Rosli, Suhaimi Keton, M Kumaresan. Mereka semua itu siapa. Siapa yang bawa mereka dulu sehingga mereka berjaya. Siapa kata saya pilih kasih kalau tengok semua itu.

"Saya hanya terima elaun RM2,500 untuk jaga pelumba Sukma dari Majlis Sukan Wilayah. Habis Sukma sudah tak ada elaun lagi.

"Elaun untuk pelumba berumur 12, 13, 14 tahun memang tak ada. Tapi macam mana nak bagi elaun kalau datang latihan pun sekali dua," katanya.

Joo Ngan berkata, beliau seorang yang memberi tegas menekankan disiplin.

Pelumba yang tidak mengikut jadual latihannya memang tidak akan diberi muka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2024 @ 8:04 PM