JOO NGAN didakwa rasis oleh sesetengah pihak.
JOO NGAN didakwa rasis oleh sesetengah pihak.
Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Bekas pelumba berbasikal negara, Fairoz Izni Abd Ghani berasa dukacita terhadap tuduhan dilemparkan kepada pemenang pingat emas Sukan Asia Bangkok 1970, Datuk Ng Joo Ngan.

Menurutnya, tuduhan itu tidak berasas seperti digembar-gemburkan di media tempatan ketika ini. Setiap jurulatih mempunyai kemahiran tersendiri atau 'internal' penglihatan yang berbeza.

Terutama jurulatih yang mempunyai pengalaman besar diperingkat antarabangsa dan berjaya di pentas antarabangsa mahupun tempatan," katanya dalam status di akaun media sosial, Facebook semalam.

Ujarnya, pihak ibu bapa khususnya tidak wajar melemparkan sesuatu perkara atas keputusan jurulatih bagi satu-satu objektif pasukan.

"Jurulatih berhadapan anak didiknya pada sesi latihan setiap waktu dan masa. Andai anak ibu bapa tidak terpilih dalam senarai pendek ke mana-mana kejohanan itu adalah keputusan sebagai seorang jurulatih bukan pilih kasih dan sebagainya.

"Percaturan 'Race demand' adalah strategi pasukan dan jurulatih akan mengatur kelebihan kekuatan pelumbanya agar mampu memberi saingan dan pelumba mempunyai kepakaran yang tersendiri," katanya.

Tambah Fairoz, hanya jurulatih yang faham tekanan dan kemampuan anak buahnya serta tiada istilah pilih kasih bangsa seperti tohmahan oleh pihak ibu bapa.

"Pembangunan atlet adalah mengikut proses dan 'progress'. Kita sebagai ibu bapa atau pihak luar perlu akur 'belum sampai masa' bagi atlet berkenaan untuk disenarai pendek oleh kerana hanya yang layak dan berdisplin sahaja akan berada dalam pasukan.

"Atlet yang cemerlang perlu mempunyai pembangunan sikap atau sifat kepimpinan yang baik seperti daya tahan, lasak, ketekunan, kesabaran dan fokus yang kuat.

"Dalam hal kesukanan, pihak ibu bapa harus memainkan peranan memimpin anak sebagai atlet. Memimpin sebagai 'treat anak' dalam sukan maka ia akan rosak oleh kerana akan ada sifat kasihan, anak saya, manja dalam apa jua situasi. Anak dan atlet perlu dipisahkan jika mahu mereka berjaya dalam bidang yang diceburi," katanya.

Sebelum ini, Joo Ngan yang juga jurulatih Persatuan Berbasikal Kuala Lumpur (KLCA) dilihat gagal menjalankan tanggungjawab dengan adil dan sebaiknya oleh segelintir bekas ibu bapa pelumba yang berada di bawah naungan persatuan berkenaan.

Joo Ngan, 76, dikatakan sering terperangkap dengan kisah lalu dan tidak melakukan perubahan terkini dalam kaedah latihannya selain didakwa kadangkala bertindak agak 'rasis' dalam sesetengah perkara.

Konflik yang berlaku dalam KLCA mula tercetus apabila terdapat segelintir ibu bapa bekas pelumba persatuan mendakwa wujud isu membabitkan perkauman, pecah amanah dan penyalahgunaan dana yang diterima daripada Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mac 2024 @ 5:03 PM