RADHI (dua dari kanan) menghadiri Majlis Iftar Ramadan Perdana dan Penyampaian Sumbangan Kelengkapan Hari Raya kepada 30 anak yatim anjuran Pasaraya Mydin Taman Saga, Alor Setar, semalam.
RADHI (dua dari kanan) menghadiri Majlis Iftar Ramadan Perdana dan Penyampaian Sumbangan Kelengkapan Hari Raya kepada 30 anak yatim anjuran Pasaraya Mydin Taman Saga, Alor Setar, semalam.
Izzali Ismail


Alor Setar: Legenda bola sepak Kedah, Muhammad Radhi Mat Din mengingatkan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) agar berwaspada berkaitan isu kelewatan pembayaran wang penajaan oleh penaja pasukan bagi menghadapi musim baharu 2024/2025, bermula Mei depan.

Beliau meluahkan kebimbangan kerana sesetengah penaja pasukan bola sepak dalam Liga Malaysia (Liga M) yang tidak menepati janji dalam melangsaikan pembayaran penajaan kepada pasukan ditaja.

Beliau yang juga Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Ahli Lembaga Pengarah Kedah Darul Aman FC (KDA FC) merangkap Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Belia dan Sukan negeri Kedah berkata, kelewatan dalam pembayaran dana yang dijanjikan penaja itu memberi kesan terhadap hal pengurusan kewangan sesuatu pasukan itu.

Tanpa menyebut dan merujuk kepada mana-mana penaja, Radhi berharap KDA FC dapat memastikan masalah berkaitan kelewatan pembayaran oleh penaja dapat ditangani dengan baik dalam tempoh masa ditetapkan untuk musim baharu ini.

"Kita kena pastikan penaja ini membayar mengikut apa yang dijanjikan antara mereka dan kelab, sebab kadang-kadang apa yang berlaku adalah pihak penaja tidak dapat menunaikan apa yang dijanjikan.

"Ini akan memberi kesan kepada pengurusan kewangan kelab dan apabila masalah terjadi, ia secara tidak langsung akan kembali kepada pihak negeri yang terkesan dalam menanggung masalah itu.

"Sedangkan semua pihak tahu proses pemisahan antara kelab dan negeri sudah dilakukan melalui proses penswastaan," katanya ketika menghadiri majlis Iftar Ramadan Perdana dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya kepada 30 anak yatim anjuran Pasaraya Mydin di sini, semalam.

Pada masa sama, Radhi bersyukur mengenai proses pembentukan pasukan KDA FC berjalan dengan lancar dan sudah memulakan latihan sejak minggu lalu.

"Saya nampak pasukan sudah bersedia dan sesuatu yang positif adalah apabila pasukan sudah memulakan latihan.

"Setakat ini, kita rasa dengan janji dilakukan KDA FC dalam isu pembayaran gaji, saya yakin perkara ini akan selesai dan kita harap perkara positif akan terus berlaku dalam pasukan.

"Pada masa sama, pihak Liga Bolasepak Malaysia (MFL) masih mengharapkan Kedah kekal bersaing dalam Liga Super pada tahun ini kerana kita tahu Kedah adalah pasukan yang boleh memeriahkan lagi suasana bola sepak di negara ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mac 2024 @ 7:17 PM