MUHAMMAD Sanusi berkata tawaran pemilikan KDA FC masih tebuka kepada pihak lain. FOTO Asyraf Hamzah
MUHAMMAD Sanusi berkata tawaran pemilikan KDA FC masih tebuka kepada pihak lain. FOTO Asyraf Hamzah
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) masih menunggu keputusan Widad Business Group (WBG) untuk mengambil alih 80 peratus saham Kedah Darul Aman FC (KDA FC) selepas syarikat itu menjadi penaja utama pasukan berkenaan.

Presiden KFA, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata syarikat itu sudah menyatakan hasrat untuk memiliki sebahagian saham berkenaan, namun memerlukan lebih masa untuk membuat penilaian sebelum memberi keputusan.

"Ahli perniagaan ini perlukan persiapan pasukan yang cukup, oleh kerana pasukan dia (WBG) tu tak cukup persiapan, dia minta jadi penaja utama dulu.

"WBG sedang bersiap sedia ke arah itu, paling cepat mungkin untuk tahun depan tapi kalau ada pihak lain yang berminat mereka boleh datang untuk bincang," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat EXCO di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, jumlah tajaan WBG bagi musim ini bagaimanapun masih dirahsiakan dan syarikat itu turut bersetuju menanggung perbelanjaan pasukan Hijau Kuning untuk bersaing dalam Piala Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Katanya, jumlah perbelanjaan keseluruhan yang diperlukan oleh pasukan Kedah adalah sebanyak RM25 juta bagi satu musim.

"Kita ada penaja bersama pasukan Kedah bagi musim ini iaitu Menteri Besar Kedah Incroporated (MBI) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK).

"Namun WBG adalah penaja utama pasukan Kedah, sebelum ini pun syarikat ini menaja kita dengan membayar hutang sebanyak RM4.5 juta, jadi untuk jumlah penajaan seterusnya masih dalam perbincangan," katanya.

Terdahulu Muhammad Sanusi, turut melancarkan aplikasi iBAYAQ bagi memudahkan rakyat Kedah membuat bayaran hasil secara dalam talian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mac 2021 @ 8:39 PM