REKAAN jersi terbaharu Kedah yang dilancarkan hari ini. FOTO Ihsan KDA FC
REKAAN jersi terbaharu Kedah yang dilancarkan hari ini. FOTO Ihsan KDA FC
Izzali Ismail


Alor Setar: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) melancarkan secara rasmi jersi baharu untuk versi tempat sendiri dan tempat lawan yang akan digunakan pada saingan Liga Malaysia (Liga-M), Piala Malaysia dan Piala AFC pada musim ini.

Pelancaran dilakukan secara maya melalui laman Facebook KDA FC yang membabitkan penajaan pakaian serta kelengkapan pasukan dengan kerjasama bersama Lotto Malaysia oleh Prestige Sports Sdn Bhd dan Al-Ikhsan Sports Sdn Bhd.

Selain itu, KDA FC juga mengumumkan barisan penaja musim 2021 dengan penaja utama Widad Langkasuka iaitu Widad Busines Group (WBG) yang melibatkan penajaan selama setahun.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Khamal Idris Ali, WBG adalah antara syarikat berpengalaman yang beroperasi dalam pelbagai industri di Malaysia.

"WBG turut dinobat sebagai lapan kontraktor terbaik bumiputera dan 16 kontraktor terbaik di seluruh Malaysia selain mendapat penarafan sebagai Kontraktor 5 Bintang oleh pihak CIDB," katanya.

Manakala penaja bersama untuk KDA FC yang sentiasa memberi komitmen adalah Menteri Besar Kedah Incroporated (MBI) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK).

"KDA FC juga turut memeterai perjanjian penajaan bersama Cosmic Express sebagai pengangkutan rasmi selama setahun bagi penyediaan pengangkutan pasukan ke semua venue perlawanan di Malaysia.

"Selain itu Cosmic turut memberi komitmen tinggi dengan menyediakan bas khas bertema hijaukuning khusus untuk pasukan KDA FC sebagai kegunaan rasmi pasukan ketika pertandingan berlangsung," katanya.

Khamal juga turut melahirkan penghargaan kepada semua penyokong pasukan hijau kuning yang terus berada dan memberi sokongan di belakang pasukan dengan pelbagai cara.

"Setiap sokongan anda amatlah kami hargai dan hasrat besar penyokong yang sentiasa mahukan yang terbaik untuk KDA FC adalah satu hikmah kepada kami untuk memperbaiki semua aspek bagi kemajuan bolasepak di Kedah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mac 2021 @ 9:47 PM