DIAKITE meraikan kejayaannya meledak gol kemenangan Ivory Coast dengan membuka baju namun dilayangkan kad merah selepas menerima kad kuning kedua. -FOTO Reuters
DIAKITE meraikan kejayaannya meledak gol kemenangan Ivory Coast dengan membuka baju namun dilayangkan kad merah selepas menerima kad kuning kedua. -FOTO Reuters
AFP

Bouake, Ivory Coast: Oumar Diakite muncul wira tuan rumah apabila mempamerkan aksi luar bisa untuk membawa Ivory Coast mara ke separuh akhir Piala Negara Afrika (AFCON).

Jaringan oleh pemain gantian ketika penghujung masa tambahan di Bouake memberikan The Elephants kemenangan 2-1 ke atas Mali yang mendominasi sebahagian besar perlawanan suku akhir itu.

Kejayaan mereka itu turut disusuli Afrika Selatan yang menewaskan Cape Verde dalam satu lagi aksi suku akhir.

Pemain kelahiran Ivory Coast, Nene Dorgeles yang kini bersama Mali, meletakkan pasukan itu di hadapan pada minit ke-71 yang terpaksa beraksi dengan 10 pemain sejurus sebelum separuh masa apabila Odilon Kossounou dibuang padang.

Tetapi seorang lagi pemain gantian dari Ivory Coast, Simon Adigra, menyamakan kedudukan pada minit ke-90 untuk mengheret perlawanan sengit di Afrika Barat ke masa tambahan.

Ketika perlawanan suku akhir nampaknya akan ditentukan melalui penentuan sepakan penalti, Diakite melakukan rembatan melepasi penjaga gol Mali, Djigui Diarra.

Diakite, yang sudah mengutip satu kad kuning sebelum itu, membuka bajunya untuk meraikan jaringan, sekali gus mengundang kad kuning kedua diikuti oleh kad merah.

Selain Diakite, Kossounou, kapten Serge Aurier dan Christian Kouame juga tidak akan beraksi di separuh akhir menentang Republik Demokratik.

"Selepas perlawanan sebegini, tidak ada apa yang mampu digambarkan, hanya emosi. Saya sangat teruja sehingga terlupa sudah mengutip kad kuning. Ia kesilapan saya.

"Walaupun saya tidak berada di sana, kami mampu melakukannya. Dengan gol ini, saya mencetus kegembiraan semua penyokong Ivory Coast di stadium ini," kata Diakite.

Kemenangan itu mengekalkan penguasaan Ivory Coast ke atas The Eagles di AFCON - kemenangan kelima sejak tahun 1994 dan seri sekali.

Kali terakhir Ivory Coast mara ke separuh akhir ialah pada tahun 2015 di Equatorial Guinea, dan mereka menewaskan DR Congo 3-1 sebelum memenangi kejohanan buat kali kedua.

Sementara itu Afrika Selatan kembali ke pentas separuh akhir buat pertama kali sejak tahun 2000, yang menyaksikan mereka tewas kepada tuan rumah, Nigeria - bakal lawan mereka di Bouake selepas ini.

Nigeria, yang menampilkan Pemain Terbaik Afrika, Victor Osimhen pada edisi kali ini, memenangi AFCON sebanyak tiga kali, Ivory Coast dan DR Congo masing-masing dua kali dan Afrika Selatan sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Februari 2024 @ 8:47 AM