PEMAIN DR Congo meraikan kemenangan selepas tamat penentuan penalti ketika menentang Mesir. FOTO  AFP
PEMAIN DR Congo meraikan kemenangan selepas tamat penentuan penalti ketika menentang Mesir. FOTO AFP
AFP

Abidjan: Mohamed Salah boleh melupakan hasrat kembali ke saingan Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) selepas Mesir tersingkir ketika menentang Republik Demokratik Congo manakala Guinea mara ke peringkat lapan terakhir.

Juara tujuh kali Mesir tewas 7-8 menerusi penentuan penalti apabila aksi peringkat 16 menentang DR Congo berakhir 1-1 selepas tambahan masa awal pagi tadi.

Meschack Elia meletakkan pasukannya di depan pada minit ke-37 sebelum Mostafa Mohamed menyamakan kedudukan untuk Mesir menerusi penalti sejurus sebelum tamat separuh masa pertama.

Dengan tanpa sebarang jaringan, Mesir bertahan untuk penentuan penalti selepas Mohamed Hamdy dibuang padang susulan kad kuning kedua pada babak pertama tambahan masa.

Mereka terbabit tiga penentuan penalti dalam empat aksi kalah mati pada AFCON terakhir di Cameroon dua tahun lalu di mana mereka tewas dengan penalti di tangan Senegal.

Mohamed gagal menjaringkan penalti kedua Mesir tetapi Arthur Masuaku kemudiannya terlepas penalti untuk Leopards selepas itu.

Sepakan penalti kesembilan penjaga gol Mesir Mohamed Abou Gabal terkena palang dan penjaga gol DR Congo Lionel Mpasi tidak membuat kesilapan untuk membawa pasukannya ke suku akhir.

Ia detik mengecewakan buat Mesir yang datang ke Ivory Coast dengan misi menjuarai AFCON kali pertama sejak 2010, setahun sebelum Salah tampil kali pertama bersama skuad kebangsaa.

Tetapi mereka bergelut dalam saingan peringkat kumpulan dengan tiga kali seri dan kehilangan bintang Liverpool itu yang mengalami kecederaan hamstring ketika menentang Ghana.

Dia pulang ke Anfield untuk menjalani rawatan lanjut dengan harapan dapat kembali beraksi di AFCON tetapi kini impiannya untuk menjulang trofi bersama Mesir musnah.

DR Congo pula menang aksi kalah mati pertama mereka sejak mara ke separuh akhir 2015. Skuad Sebastien Desabre akan beraksi di suku akhir Jumaat ini menentang Guinea yang menewaskan Equatorial Guinea 1-0 menerusi jaringan Mohamed Bayo pada minit kelapan masa kecederaan.

Perlawanan di Stadium Olimpik Ebimpe itu hampir menuju ke masa tambahan apabila Bayo menanduk masuk hantaran Ibrahim Diakite yang menggamatkan penyokong mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 January 2024 @ 8:44 AM