VITORIA dipecat selepas prestasi mengecewakan Mesir di AFCON. -FOTO AFP
VITORIA dipecat selepas prestasi mengecewakan Mesir di AFCON. -FOTO AFP
Reuters

Cairo: Mesir memecat jurulatih, Rui Vitoria seminggu selepas mereka tersingkir di peringkat 16 terakhir Piala Negara-Negara Afrika di Ivory Coast, umum Persatuan Bola Sepak Mesir (EFA).

Kontrak Vitoria sepatutnya berjalan sehingga Piala Dunia 2026 tetapi kempen Piala Negara-Negara Mesir mengecewakan termasuk kekalahan pada penentuan sepakan penalti kepada Republik Demokratik Congo berikutan keputusan seri 1-1 Ahad lalu, menamatkan tempoh perkhidmatannya.

EFA berkata pengendali berusia 53 tahun itu dan seluruh kakitangan kejurulatihan sudah diberhentikan daripada tugas mereka.

Mohamed Youssef, bekas jurulatih Al Ahly yang mengetuai gergasi Mesir itu menjulang kejuaraan Liga Juara-Juara Afrika pada 2013, akan mengambil alih tugas sementara.

"Persatuan itu juga akan mengkaji latar belakang beberapa jurulatih asing," tambah EFA dalam satu kenyataan.

Vitoria menjadi pengendali Mesir pada 2022, mengambil alih pasukan yang bergelut dengan kemerosotan drastik dalam prestasi mereka selepas layak ke final AFCON di Cameroon beberapa bulan sebelumnya.

Semuanya kelihatan menjanjikan harapan dengan Mesir mempamerkan peningkatan ketara di serangan dan mudah melayakkan diri ke pusingan akhir AFCON di Ivory Coast.

Mereka turut menang dua perlawanan awal kelayakan Piala Dunia 2026.

Bagaimanapun, mereka beraksi hambar di Ivory Coast, layak ke pusingan 16 terakhir selepas tiga keputusan seri 2-2 sebelum DR Congo menamatkan impian mereka memenangi AFCON buat rekod kali kelapan.

Vitoria muncul jurulatih terbaharu yang dipecat pada kejohanan itu susulan pemergian jurulatih Algeria, Djamel Belmadi, Tom Saintfiet (Gambia), Chris Hughton (Ghana), Jalel Kadri (Tunisia), Adel Amrouche (Tanzania) dan bos Ivory Coast, Jean-Louis Gasset.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Februari 2024 @ 10:15 AM