ANCELOTTI ketika sesi latihan pasukannya di Valdebebas, Madrid.
ANCELOTTI ketika sesi latihan pasukannya di Valdebebas, Madrid.
AFP

Madrid: Carlo Ancelotti berkata, dia sangat gembira dapat kekal di Real Madrid sehingga 2026 walaupun mendapat tawaran menjadi jurulatih Brazil.

Pada Julai lalu, Ancelotti yang berusia 64 tahun dilaporkan berpeluang menjadi jurulatih asing pertama mengendalikan Brazil dalam tempoh 60 tahun sebelum dia menandatangani kontrak baharu dengan gergasi Sepanyol itu.

"Semua orang tahu saya dihubungi Presiden Persekutuan Brazil," kata Ancelotti.

"Saya berterima kasih kepadanya di atas minat ditunjukkan kepada saya," katanya menjelang perlawanan Madrid menentang Mallorca dalam saingan La Liga awal pagi esok.

Ancelotti memenangi Liga Juara-Juara empat kali -- dua kali besama AC Milan dan dua kali dengan Real Madrid di mana dia berminat untuk kekal lebih lama daripada kontraknya sekarang.

"Pada 2026, bergantung kepada keputusan, saya masih di sana. Saya mahu terus menjadi jurulatih Madrid dan berharap kekal sehingga 2027 dan 2028 kerana saya mahu kekal di sana," katanya.

Ancelotti turut menjuarai liga domestik bersama Real dan Milan, Chelsea, Bayern Munich serta Paris Saint-Germain.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 January 2024 @ 7:56 AM