CARLO Ancelotti dijulang pemain Real Madrid selepas pasukannya muncul juara La Liga kali ke-35, Sabtu lalu. FOTO AFP
CARLO Ancelotti dijulang pemain Real Madrid selepas pasukannya muncul juara La Liga kali ke-35, Sabtu lalu. FOTO AFP
AFP

Rom: Jurulatih Real Madrid, Carlo Ancelotti berkata, dia mungkin bersara apabila meninggalkan juara La Liga itu, tetapi bersedia untuk kekal di Santiago Bernabeu selama beberapa tahun.

Sabtu lalu, pengendali dari Itali berusia 62 tahun itu mencipta sejarah sebagai jurulatih pertama memenangi gelaran di lima liga utama di Eropah dengan yang terbaru bersama Real.

Pasukannya akan berdepan Manchester City pada perlawanan separuh akhir kedua Liga Juara-Juara Eropah di Madrid, awal pagi Khamis ini.

"Ya, selepas Real, saya mungkin akan berhenti," kata Ancelotti kepada Prime Video dalam temu bual yang disiarkan hari ini.

"Tetapi, jika Real mengekalkan saya selama 10 tahun, saya akan bersama mereka selama 10 tahun."

Dia kini memiliki kontrak dengan Real sehingga 2024, selepas menyertai semula kelab itu untuk kali kedua, tahun lalu, dari Everton.

Ancelotti berkata, dia mahu menghabiskan lebih masa bersama keluarga dan melancong, tetapi tidak menolak kemungkinan membimbing skuad kebangsaan ke Piala Dunia 2026 di Amerika Syarikat (AS), Mexico dan Kanada.

"Saya mahu menghabiskan masa dengan cucu, pergi bercuti dengan isteri," tambahnya.

"Ya, ada kemungkinan pasukan kebangsaan, tetapi ia bergantung kepada masa."

Ancelotti adalah penolong jurulatih skuad Itali di Piala Dunia 1994 di AS apabila mereka tewas kepada Brazil di final menerusi penentuan sepakan penalti.

Dia kini memburu gelaran keempat Liga Juara-Juara Eropah, musim ini, selepas dua kejayaan bersama AC Milan pada 2003 dan 2007 serta kejayaan ketika kali pertama membimbing Madrid pada 2014.

Real dalam usaha mengatasi kekalahan 3-4 pada perlawanan separuh akhir pertama dengan Man City untuk merebut tempat ke final menentang sama ada Liverpool atau Villarreal di Paris.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mei 2022 @ 8:15 PM