ANCELOTTI anggap bola sepak Itali bermasalah.
ANCELOTTI anggap bola sepak Itali bermasalah.
AFP

MILAN: Carlo Ancelotti mendedahkan dia menolak tawaran untuk mengendalikan skuad kebangsaan Itali dan memilih untuk kekal menguruskan pasukan berstatus kelab.

Ancelotti, 58, antara calon untuk menggantikan tempat Giampiero Ventura yang dipecat susulan kegagalan Itali melangkah ke pusingan akhir Piala Dunia buat pertama kali dalam tempoh 60 tahun.

“Ya, persekutuan menghubungi saya, saya bercakap dengan mereka. Saya memberitahu mereka apa yang saya beritahu kamu sekarang, yang saya amat berbangga apabila ramai orang mahu saya menjadi jurulatih skuad kebangsaan,” kata Ancelotti kepada rancangan televisyen, La Domenica Sportiva.

“Begitupun, ia seperti menerima satu kerja yang amat berlainan. Menjadi jurulatih kebangsaan berbeza dengan menjadi jurulatih kelab. Saya masih gembira di padang latihan dan bekerja setiap hari.

“Bola Sepak Itali juga memiliki beberapa masalah yang mereka perlu selesaikan,” katanya.

Ancelotti ketika ini tidak menguruskan mana-mana kelab selepas dipecat oleh Bayern Munich sejak penghujung September lalu.

Pernah menguruskan Chelsea, Real Madrid, Juventus dan AC Milan, Ancelotti yang juga pemenang tiga kejuaraan Liga Juara-Juara menjadi pilihan utama Presiden Persekutuan Bolasepak Itali, Carlo Tavecchio yang kemudian turut dipaksa meletakkan jawatan, bulan lalu.

“Bola Sepak Itali ada masalah yang serius dan saya tidak fikir mereka mampu untuk menyelesaikannya bersendirian. Seperti biasa, jurulatih disalahkan dan ia bukannya perkara yang betul.

“Ada masalah struktur. Sebagai contoh, mengapa kami satu-satunya negara di Eropah di mana stadium separuh kosong? Ia bukannya salah Ventura.”

“Saya sedar wujud konflik di antara kelab dan persekutuan, seperti di Jerman, Perancis dan England tetapi ketika ini bola sepak Itali perlukan persekutuan untuk mengenakan kuasa terhadap kelab dan mengeluarkan arahan baharu untuk memperbaiki situasi.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Disember 2017 @ 10:59 PM