ANCELOTTI putuskan untuk bersara selepas tamatkan karier bersama Real Madrid. -FOTO AFP
ANCELOTTI putuskan untuk bersara selepas tamatkan karier bersama Real Madrid. -FOTO AFP
AFP

Milan: Carlo Ancelotti mengesahkan bahawa beliau akan menamatkan tugas dalam pengurusan bola sepak apabila meninggalkan Real Madrid, menamatkan salah satu kerjaya paling gemilang dalam era bola sepak moden.

Ancelotti pada Mei berkata bahawa beliau "mungkin" akan berhenti sebaik saja meninggalkan Madrid namun kemudiannya melenyapkan segala keraguan ketika di temu bual akhbar harian Itali Il Messaggero.

"Kali ini di Real adalah penamat karier saya selepas Los Blancos saya akan berhenti," kata pengendali berusia 63 tahun itu.

"Real adalah yang terbaik dalam bola sepak. Ia sesuatu yang masuk akal apabila menghentikan karier selepas menempuh pengalaman di sini."

Ancelotti menjadi jurulatih pertama yang memenangi kesemua lima liga teratas Eropah apabila dia merangkul kejuaraan Sepanyol musim lalu dan menamatkan kempen luar biasa dengan memenangi Liga Juara-Juara kedua untuk kelab itu.

Ia adalah kali ke-14 Madrid bergelar juara Eropah dan yang terbaru buat pengendali Itali itu dalam kerjayanya yang panjang sebagai pemain dan jurulatih.

Beliau memenangi tiga gelaran Serie A bersama Roma dan AC Milan pada 1980an serta Piala Eropah bersama Arrigo Sacchi di Milan pada 1989 dan 1990.

Dia kembali ke Milan sebagai jurulatih pada 2001 dan lapan tahun di San Siro memenangi gelaran liga pada 2004 dan dua Liga Juara-Juara.

Dia juga membawa Chelsea memenangi liga dan Piala FA berganda pada 2010 mencipta rekod Liga Perdana dengan 103 gol yang dijaringkan dalam tempoh itu.

Dia juga memenangi Ligue 1 bersama Paris Saint-Germain pada 2013 dan Bundesliga bersama Bayern Munich empat tahun kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Ogos 2022 @ 8:58 AM