PEMAIN Bayern, Sadio Mane (tengah) menjulang trofi Piala Super Jerman selepas menang 5-3 ke atas RB Leipzig, malam tadi. FOTO EPA
PEMAIN Bayern, Sadio Mane (tengah) menjulang trofi Piala Super Jerman selepas menang 5-3 ke atas RB Leipzig, malam tadi. FOTO EPA
AFP

Berlin: Sadio Mane membuka akaun jaringan dalam aksi kompetitif bersama Bayern Munich apabila juara Bundesliga itu menewaskan Leipzig, 5-3 untuk merangkul trofi Piala Super Jerman buat kali ke-10, malam tadi.

Pemain Terbaik Tahunan Afrika itu yang meninggalkan enam musim cemerlang bersama Liverpool untuk menyertai kelab Bavaria itu pada musim panas lalu, menyaksikan dua golnya dibatalkan ketika menentang Leipzig di Red Bull Arena.

"Saya sangat gembira menang perlawanan pertama dan trofi pertama. Anda tidak boleh mengeluh. Saya sangat gembira menjadi sebahagian daripada kelab hebat ini," kata Mane.

Jurulatih Bayern, Julian Nagelsmann menegaskan pasukannya berhak untuk menang.

"Kami bermain dengan cemerlang pada babak pertama, tetapi selepas minit ke-60, anda boleh lihat kami seperti kehabisan tenaga," katanya.

"Kami baru berlatih selama 19 hari dan anda tidak boleh ketepikan fakta itu. Kami berhak menang, tiada persoalan mengenainya."

Penyerang Senegal, Mane menemui sasaran pada minit ke-30 iaitu gol kedua pasukannya pada perlawanan pembuka tirai liga di Jerman.

Jamal Musiala melepasi perangkap ofsaid Leipzig dan melorongkan bola kepada Serge Gnabry yang melakukan hantaran lintang sebelum Mane mudah menolak masuk ke dalam gawang.

Bayern yang memulakan era baharu selepas pemergian penyerang prolifik, Robert Lewandowski ke Barcelona, berada di depan menerusi Musiala pada minit ke-14.

Musiala turut menyumbang untuk gol ketiga Bayern apabila hantaran tepat pemain remaja itu mudah disempurnakan pemain antarabangsa Perancis, Benjamin Pavard.

Marcel Halstenberg merapatkan jurang buat Leipzig, tetapi Bayern menjarakkan kedudukan dan Gnabry menjadikan kedudukan 4-1.

Bayern Munich akan memulakan misi mempertahankan gelaran Bundesliga dengan berkunjung ke Eintracht Frankfurt pada Jumaat depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Julai 2022 @ 10:19 AM