PERANCIS menang ke atas Belanda. FOTO Reuters
PERANCIS menang ke atas Belanda. FOTO Reuters
AFP

Amsterdam: Kylian Mbappe muncul wira Perancis apabila memacu naib juara Piala Dunia itu menempah slot ke pusingan akhir Euro pada tahun depan apabila meledak dua gol untuk menewaskan Belanda 2-1 di Amsterdam.

Kejayaan memungut tiga mata maksimum itu membolehkan skuad kendalian Didier Deschamps mengungguli carta Kumpulan B ketika hanya berbaki dua aksi lagi, dengan Belanda yang juga bekas juara Eropah pada 1988 itu berada di tangga ketiga di belakang Perancis dan Greece.

"Kami berjaya menempah tiket ke Euro tahun depan. Ia amat menggembirakan pasukan," kata pemain tengah Perancis, Adrien Raboit.

Pada aksi itu, Mbappe yang baharu pulih daripada kecederaan sememangnya memiliki rekod baik setiap kali menentang Belanda dan pemain Paris Saint-Germain itu membuktikannya apabila hanya memerlukan tujuh minit sebaik perlawanan bermula untuk meledak.

Bintang bola sepak Perancis itu kemudiannya meledak gol kedua selepas rehat pada minit 53, sebelum Quilindschy Hartman merapatkan kedudukan dengan gol saguhati di 10 minit terakhir babak kedua.

"Apabila dia beraksi cemerlang, maka Perancis secara tak langsung mempunyai peluang cerah mencatat kemenangan," kata pengendali Perancis Didier Deschamps yang memuji Mbappe.

Sementara itu, pertahanan kental Belanda Virgil Van Dijk akui pasukannya tiada pilihan lain dan perlu memburu kemenangan ke atas Greece selepas ini untuk layak ke Euro.

"Jika kami nak beraksi di pusingan akhir Piala Eropah tahun depan, kami wajib menang," kata Van Dijk yang juga ketua pasukan.

Selepas ini, Perancis akan menanti kunjungan Scotland di Lille Selasa ini, manakala Belanda bakal berkunjung ke Greece dan misi mereka adalah wajib menang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Oktober 2023 @ 9:09 AM