AMINUDDIN ketika ditemui di Seremban semalam. -FOTO Mohd Amin Jalil
AMINUDDIN ketika ditemui di Seremban semalam. -FOTO Mohd Amin Jalil
Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menegaskan bahawa kesediaan kerajaan negeri untuk membantu berkaitan isu gaji pemain bola sepak Negeri Sembilan FC (NSFC) belum dimuktamadkan.

Beliau berkata, pihaknya akan meneliti terlebih dahulu bersama pihak Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) berkenaan kemelut yang dihadapi oleh pasukan NSFC.

"Memang kerajaan negeri ada bantu (NSFC) baru-baru ini, tapi jangan kata semua tunggakan (gaji pemain) kerajaan negeri tanggung. Itu tidak betul.

"Saya kena teliti dan bincang dulu dengan mereka (PBNS/NSFC), setakat ini belum ada apa-apa lagi. Saya tak bincang apa-apa lagi. Terima kasih," katanya ketika ditemui di Masjid Negeri di sini, semalam.

Sebelum ini, Aminuddin melahirkan kesediaan beliau untuk berbincang dengan pihak pengurusan PBNS dan NSFC dalam usaha membantu menyelesaikan masalah gaji yang membelenggu pasukan berkenaan.

Kemelut gaji pemain skuad Hobin Jang Hobin terbongkar selepas dikatakan mereka tidak menerima gaji dua bulan iaitu bagi bulan Ogos dan September.

Sementara itu, penolong ketua pasukan NSFC, Nasrullah Hanif Johan berharap isu berkenaan tidak berlarutan dan dapat diselesaikan secepat mungkin untuk kepentingan pemain dan pasukan.

"Saya mewakili rakan-rakan dalam pasukan berharap perkara ini dapat diselesaikan secepat mungkin bagi membolehkan fokus pemain untuk menghadapi baki saingan Liga Super tidak terjejas," katanya, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Oktober 2023 @ 2:26 PM