PASUKAN Terengganu FC meraikan kejayaan menewaskan pasukan Selangor FC pada perlawanan suku akhir kedua untuk mara ke separuh akhir Piala Malaysia. FOTO AIZUDDIN SAAD
PASUKAN Terengganu FC meraikan kejayaan menewaskan pasukan Selangor FC pada perlawanan suku akhir kedua untuk mara ke separuh akhir Piala Malaysia. FOTO AIZUDDIN SAAD
Firdaus Hashim


Petaling Jaya: Misi 34 Selangor FC akhirnya ternoktah di suku akhir Piala Malaysia apabila diikat seri 1-1 dalam aksi timbal balik Piala Malaysia sekali gus tewas menerusi agregat 3-1 di tangan Terengganu FC.

Pelawat yang dibimbing Tomislav Steinbruckner nyata lebih bertuah untuk mara ke separuh akhir terutama selepas meraih kemenangan selesa 2-0 pada suku akhir pertama di Gong Badak sebelum ini.

Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya itu, tuan rumah mengawal permainan dengan cukup baik bagi memburu gol awal.

Malah beberapa insiden termasuk kekasaran di luar kotak penalti dan bola yang terkena tangan pertahanan Terengganu FC di dalam kotak penalti langsung tidak diendahkan pengadil.

Sebaliknya satu halangan biasa atau 'soft tackle' yang dilakukan Safuwan Baharudin ke atas Nor Hakim Hassan di dalam kotak penalti menyaksikan pengadil pantas menghadiahkan sepakan penalti tanpa ragu-ragu.

Ivan Mamut yang mengambil tanggungjawab itu mudah menyempurnakan tugasnya pada minit 23 buat meletakkan skuad Penyu mendahului 1-0 di depan, sekali gus melebarkan agregat kepada 3-0.

Selangor cuba bangkit dan peluang paling hampir muncul di minit 45 menerusi tandukan Harith Haiqal yang menyambut sepakan sudut Faisal Halim namun sempat ditepis Suhaimi Husin.

Memulakan babak kedua, Tan Cheng Hoe membuat dua pertukaran serentak dengan memasukkan Yazan Al-Arab dan Mukhairi Ajmal.

Gawang pelawat hampir bocor di minit 62 namun rembatan deras Noor Al-Rawabdeh terkena tiang gol ketika Suhaimi sudah pun tertewas.

Tekanan demi tekanan diberikan akhirnya membuahkan hasil apabila sepakan sudut Faisal ditanduk Safuwan yang menerjah jaring di minit 69 bagi menyamakan kedudukan 1-1 sekali gus mengecilkan defisit gol.

Empat minit kemudian, pintu gol Terengganu bocor lagi tetapi percubaan Ayron del Valle dikesan offside.

Yohandry Orozco turut mencuba dengan ledakan di luar kotak penalti di minit 87 tetapi ia berjaya ditampan Suhaimi.

Di separuh akhir nanti, Terengganu FC akan berdepan Kuala Lumpur City FC manakala JDT bakal menanti pemenang antara Perak FC dan Sabah FC.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 September 2023 @ 1:12 AM