TAN Cheng Hoe ketika sidang media pada saingan Piala Malaysia 2023, di MBPJ, Petaling Jaya. FOTO AHMAD UKASYAH
TAN Cheng Hoe ketika sidang media pada saingan Piala Malaysia 2023, di MBPJ, Petaling Jaya. FOTO AHMAD UKASYAH
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kedudukan pasukan dalam saingan Liga Super tidak memberi sebarang erti atau boleh dikatakan bukan kayu pengukur sebenar kekuatan apabila turun beraksi dalam saingan Piala Malaysia.

Pengendali Selangor FC Tan Cheng Hoe berkata, kegagalan melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia seharusnya menjadi iktibar kepada pemain bahawa tidak memandang rendah kepada pasukan yang berada di kedudukan bawah daripada mereka dalam saingan Liga Super.

Beliau berkata, setiap pasukan akan mempamerkan aksi luar biasa ketika mengharungi saingan Piala Malaysia demi mengesahkan tiket untuk beraksi di pusingan seterusnya.

"Perkara ini pemain perlu ambil pengajaran bahawa tidak semestinya anda berada di posisi kedua liga dan lawan berada di kedudukan keenam pasti kita boleh menang, tidak sama sekali kerana dalam bola sepak apabila memasuki pusingan kalah mati segala peluang yang terhidang perlu disempurnakan," katanya.

Pada perlawanan malam tadi menyaksikan misi 34 Selangor FC akhirnya ternoktah di suku akhir Piala Malaysia apabila seri 1-1 dalam aksi timbal balik Piala Malaysia sekali gus tewas menerusi agregat 3-1 di tangan Terengganu FC.

Aksi yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya itu menyaksikan pelawat nyata lebih bertuah untuk mara ke separuh akhir terutama selepas meraih kemenangan selesa 2-0 pada suku akhir pertama di Gong Badak sebelum ini.

Gol skuad Penyu diraih melalui sepakan penalti Ivan Mamut di minit 23, manakala jaringan penyamaan hasil tandukan Safuwan Baharudin di minit 69.

Selain itu, Cheng Hoe mengakui pasukannya mempunyai banyak peluang terhidang namun gagal diterjemahkan kepada gol sekali gus kempunan untuk beraksi di peringkat separuh akhir Piala Malaysia.

"Kami perlu mengubah taktikal kerana untuk mengejar mata 3-0 memang sesuatu yang sukar. Malah, kami bermain dengan corak hantaran jauh dan peroleh gol pada minit akhir perlawanan,"

"Sekiranya kita dapat gol sedikit awal di babak kedua semestinya kita dapat mengubah keadaan dan mungkin dapat jaringkan lebih banyak gol," katanya.

'Persengketaan' Selangor FC dan Terengganu tidak akan terhenti pada perlawanan malam tadi apabila kedua-dua pasukan sekali lagi akan bertemu dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu, Jumaat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 September 2023 @ 7:16 PM