BRUYNE (kanan) mengalami kecederaan hamstring. FOTO AFP
BRUYNE (kanan) mengalami kecederaan hamstring. FOTO AFP
Reuters

London: Kevin De Bruyne terpaksa diketepikan daripada skuad Manchester City untuk perlawanan Piala Super Uefa menentang Sevilla selepas pemain tengah itu mengalami kecederaan hamstring pada perlawanan pembukaan liga musim ini.

Pemain antarabangsa Belgium itu meninggalkan padang pada minit ke-36 ketika City menang 3-0 di Burnley, Sabtu lalu.

De Bruyne sebelum ini dilihat terhencut-hencut semasa City meraih kemenangan di final juara Liga Juara-Juara pada Jun lalu dan pengurus, Pep Guardiola mengesahkan ia adalah kecederaan yang sama berulang.

"Ia adalah kecederaan hamstring sekali lagi, di tempat yang sama. Saya tidak tahu (berapa lama dia akan berehat), ia bergantung kepada tahap kecederaan tetapi ia akan mengambil masa beberapa minggu," kata Gaurdiola selepas perlawanan di Burnley.

Guardiola menamakan skuad 22 pemain untuk perlawanan Piala Super Uefa yang akan berlangsung di Athens, awal pagi Khamis ini.

Perlawanan itu adalah antara pemenang Liga Juara-Juara musim lalu dan juara Liga Europa.

Pemain pertahanan, Nathan Ake berkata: "Setiap perlawanan final pasti sukar. Ia tidak seperti aksi biasa. Kami menyedarinya ketika beraksi di final Piala FA dan final Liga Juara-Juara.

"Kami akan menonton dan mengkaji bagaimana kami boleh mengatasi Sevilla. Kami pernah bertemu musim lalu tetapi musim baharu pasti berbeza.

"Kelab tidak pernah memenangi trofi ini dan kini kami berada dalam kedudukan untuk melakukannya. Kami pasti mahu memenanginya."

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Ogos 2023 @ 11:01 AM