PEMAIN City meraikan kemenangan ke atas Newcastle. FOTO Reuters
PEMAIN City meraikan kemenangan ke atas Newcastle. FOTO Reuters
AFP

Manchester: Manchester City menunjukkan mentaliti juara, kata Pep Guardiola selepas pasukannya meletakkan penanda awal musim dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan menewaskan Newcastle 1-0 pagi tadi.

Jaringan menakjubkan Julian Alvarez memastikan mereka mencatat rekod kelab dengan kemenangan ke-17 berturut-turut di tempat sendiri walaupun sebelum ini juara treble itu bergelut sebelum menjulang Piala Super UEFA.

City menerima tamparan di awal kempen dengan ketiadaan Bernardo Silva dan John Stones, manakala Kevin De Bruyne akan berehat sehingga empat bulan kerana kecederaan hamstring.

Bagaimanapun kemenangan itu membuktikan anak buah Guardiola masih dahagakan kejayaan dalam usaha mereka untuk menjadi pasukan pertama yang memenangi kejuaraan liga empat kali berturut-turut.

"Ia adalah perlawanan kedua musim ini, tetapi ia adalah bukti sebab apa banyak meraih kejayaan," kata Guardiola.

"Pemikiran dan mentaliti kumpulan pemain ini sentiasa membuatkan saya terpukau."

Newcastle membelasah Aston Villa 5-1 hujung minggu lalu menimbulkan harapan kepada Tyneside bahawa mereka boleh menjadi pilihan pencabar mahkota City sebagai juara EPL.

"Ia adalah satu peringatan yang kami ada kerja untuk dilakukan, tetapi saya tidak mempunyai pemikiran seperti itu," kata bos Newcastle Eddie Howe.

"Saya fikir kami boleh bermain lebih baik daripada itu. Terdapat dua pasukan mantap dan pasukan anda perlu bertindak balas terhadap keadaan yang anda hadapi."

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Ogos 2023 @ 8:41 AM