DE Bruyne kemungkinan tidak dapat beraksi selama empat bulan. FOTO AFP
DE Bruyne kemungkinan tidak dapat beraksi selama empat bulan. FOTO AFP
AFP

Piraeus: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola berkata jadual padat tidak memberikan pemain peluang berehat secara mental atau fizikal selepas mendedahkan Kevin De Bruyne kemungkinan tidak dapat beraksi sepanjang tahun ini kerana mengalami kecederaan hamstring.

De Bruyne terhencut-hencut ketika City meraih kemenangan 3-0 ke atas Burnley pada aksi pertama Liga Perdana, Sabtu lalu.

Pemain berusia 32 tahun itu pernah mengalami kecederaan yang sama pada perlawanan akhir Liga Juara-Juara lebih dua bulan lalu ketika City menewaskan Inter Milan untuk muncul juara Eropah buat kali pertama.

"Ia kecederaan serius. Kami perlu buat keputusan lakukan pembedahan atau tidak.

"Jika lakukan pembedahan, saya rasa ia memerlukan antara tiga sehingga empat bulan untuk pulih," katanya.

De Bruyne menyertai senarai pemain berprofil tinggi yang mengalami kecederaan di awal musim.

Christopher Nkunku dari Chelsea terpaksa menjalani pembedahan lutut kerana kecederaan yang dialami semasa perlawanan persahabatan pra-musim di Chicago.

Pemain pertahanan baharu Arsenal bernilai £40 juta (RM235.6 juta), Jurrien Timber dan gandingan Aston Villa, Tyrone Mings serta Emi Buendia kesemuanya dilaporkan mengalami kecederaan.

"Pada aksi pramusim pertama saya bersama Barcelona, ​​kami mempunyai 25 hari untuk persediaan sebelum perlawanan pertama, iaitu kelayakan Liga Juara-Juara. Musim ini, kami mempunyai empat atau lima hari sahaja sebelum perlawanan pertama.

"Lihatlah sahaja semua kecederaan ligamen cruciate yang dialami pemain di liga utama pada permulaan musim ini. Pemain tidak dapat berehat sama ada secara fizikal atau mental," kata Guardiola.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Ogos 2023 @ 8:50 AM