WALKER (kanan) menyerahkan lilitan lengan kapten England kepada Harry Maguire apabila dikeluarkan ketika menentang Brazil. FOTO REUTERS
WALKER (kanan) menyerahkan lilitan lengan kapten England kepada Harry Maguire apabila dikeluarkan ketika menentang Brazil. FOTO REUTERS
AFP

Manchester: Manchester City berdepan kecederaan berganda apabila Kyle Walker dan John Stones akan terlepas perlawanan penting dalam pemburuan gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Arsenal, Ahad ini.

Kedua-dua pemain berkenaan cedera ketika tugasan antarabangsa bersama skuad kebangsaan England.

Walker dikeluarkan awal ketika tewas 0-1 di tangan Brazil kerana masalah hamstring, manakala Stones terhincut-hincut ketika seri 2-2 dengan Belgium, Selasa lalu.

City yang berstatus juara bertahan kini di tangga ketiga liga, tetapi hanya satu mata di belakang pendahulu, Arsenal yang mengatasi Liverpool di tangga kedua hanya dengan perbezaan jaringan.

Ketiadaan dua tonggak benteng itu turut merisaukan City menjelang perlawanan suku akhir pertama Liga Juara-Juaea Eropah (UCL) di Real Madrid pada 9 April depan.

"Kecederaan Kyle lebih teruk berbanding John, tetapi kedua-duanya tetap tidak boleh bermain dan saya tidak pasti lagi berapa perlawanan," kata Guardiola pada sidang media praperlawanan, hari ini.

Bagaimanapun, ada berita positif buat Guardiola apabila Ederson, Manuel Akanji, Jack Grealish dan Kevin De Bruyne bakal kembali daripada kecederan.

De Bruyne yang tersisih ketika City menang 2-0 ke atas Newcastle di suku akhir Piala FA sebelum perlawanan antarabangsa, mengalami musim dibelenggu kecederaan selepas tidak beraksi selama lima bulan pertama kempen kerana masalah hamstring.

Bagaimanapun, apabila cergas, pemain berusia 32 tahun itu melakukan 12 bantuan jaringan dan menyumbat dua gol dalam 12 perlawanan untuk City pada musim ini.

"Kevin sangat penting. Musim ini sangat sukar baginya yang berdepan masalah kecederaan," kata Guardiola.

"Dia tersisih agak lama, tetapi berlatih semula dengan baik, semalam. Kami akan lihat apa yang akan dilakukannya selepas ini."

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mac 2024 @ 10:13 PM