Michael Owen. -FOTO PA Wire
Michael Owen. -FOTO PA Wire
Agensi

London: Michael Owen yakin Manchester City akan menamatkan saingan di depan Arsenal, Liverpool dan Manchester United untuk mengekalkan gelaran Liga Perdana Inggeris musim ini.

Bekas penyerang England itu membuat ramalan menjelang musim baharu yang bermula Jumaat depan apabila Burnley menerima kunjungan City kendalian Pep Guardiola di Turf Moor.

Owen, yang meraih gelaran Liga Perdana Inggeris tunggalnya bersama Manchester United pada tahun 2011, turut menjangkakan Burnley kendalian Vincent Kompany akan kekal dalam Liga Perdana Inggeris dengan menduduki tangga ke-16.

Dua lagi kelab yang kembali ke Liga Perdana Inggeris, Luton Town dan Sheffield United, akan tercicir semula ke Liga Kejuaraan - menurut bekas pemain berusia 46 tahun itu.

Pemenang dua kali Kasut Emas itu meletakkan Wolves sebagai pasukan ketiga dalam zon penyingkiran, dan meramalkan Chelsea akan memperbaiki kedudukan mereka tetapi tidak cukup untuk mengisi kelompok empat teratas.

City mengumpul 89 mata musim lalu untuk mengesahkan gelaran liga ketiga berturut-turut dan yang kelima dalam enam musim.

Arsenal kendalian Mikel Arteta ketinggalan lima mata di belakang dan Owen menjangkakan nasib sama bakal menimpa The Gunners musim ini.

Owen pernah menyarung jersi Liverpool selama lapan tahun dan dia yakin skuad kendalian Jurgen Klopp akan bangkit daripada kedudukan kelima musim lalu.

Dia memilih Manchester United di tangga terakhir kelayakan Liga Juara-Juara Eropah, mengatasi Chelsea kendalian Mauricio Pochettino, Aston Villa dan Newcastle.

Ramalan Liga Perdana 2023-24 Michael Owen

1. Manchester City

2. Arsenal

3. Liverpool

4. Manchester United

5. Chelsea

6. Aston Villa

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Ogos 2023 @ 11:38 AM