LEE Tuck (kanan) diasak pemain PDRM FC, Mohd Safiee Ahmad dalam saingan Liga Super Malaysia 2023 di Stadium MBPJ Kelana Jaya malam ini. FOTO Bernama
LEE Tuck (kanan) diasak pemain PDRM FC, Mohd Safiee Ahmad dalam saingan Liga Super Malaysia 2023 di Stadium MBPJ Kelana Jaya malam ini. FOTO Bernama
Firdaus Hashim


Petaling Jaya: Dua sepakan penalti yang 'dihadiahkan secara percuma' oleh pertahanan PDRM FC menyaksikan Kedah Darul Aman FC pulang ke Alor Setar dengan tiga mata penuh selepas menang 2-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, di sini, malam tadi.

Sebaliknya, ia detik menghampakan buat skuad The Cops yang bertahan cukup ampuh sepanjang 79 minit permainan sebelum beberapa kesilapan tonggak pertahanan menyebabkan pengadil tiada pilihan memberi penalti.

Kedah yang menurunkan dua tonggak baharu, Ifedayo Olusegun dan Moses Atede yang masuk pada jendela perpindahan kedua minggu ini, masih belum mampu menghadirkan impak segera kepada pasukan.

Aksi seimbang dipamerkan kedua-dua pasukan sepanjang babak pertama dengan peluang terbaik skuad Hijau Kuning pada minit ke-14.

Begitupun percubaan lemah Al-Hafiz Harun mudah dipatahkan penjaga gol PDRM, Muhamad Aqil Abdul Razak.

Tuan rumah juga memiliki peluang keemasan tetapi rembatan Uche Agba tidak tepat menuju ke sasaran di minit ke-29, sekali gus melegakan kem pelawat.

Babak kedua menyaksikan anak buah Nafuzi Zain mendominasi permainan hinggalah gol yang dicari tercipta di minit 80.

Gol itu terhasil menerusi sepakan penalti selepas hantaran lintang Lee Tuck terkena tangan pertahanan PDRM, James Okwuosa sekali gus mudah disudahkan Ifedayo untuk gol pertama buat pasukan baharunya itu.

Ketika aksi menuju ke penghujung, Kedah dihadiahkan penalti kedua selepas Fadi Mahmoud dikesan melakukan kekasaran ke atas Tuck di dalam kotak penalti.

Tuck yang juga pemain naturalisasi Harimau Malaya berjaya menggandakan kelebihan di minit 90 dan keputusan itu kekal hingga tamat aksi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Julai 2023 @ 11:06 PM