IFEDAYO (tengah) meraikan jaringannya. FOTO BERNAMA
IFEDAYO (tengah) meraikan jaringannya. FOTO BERNAMA
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kedah Darul Aman FC terus menghimpit Selangor FC di posisi kedua Liga Super apabila melakar kemenangan 1-0 ke atas Kuala Lumpur City FC (KL City) di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, di Cheras, malam tadi.

Kejayaan membawa pulang tiga mata maksimum itu membolehkan skuad kendalian Nafuzi Zain mengumpul 47 mata dengan hanya ketinggalan lima mata dibelakang Red Giants, namun Kedah masih memiliki baki satu aksi dalam tangan.

Malah kemenangan itu juga, membolehkan Kedah mengekalkan rekod tanpa kalah dalam tujuh aksi liga termasuk seri 3-3 dengan Johor Darul Ta'zim (JDT) sebelum ini, biarpun tidak begitu cemerlang dalam aksi Piala Malaysia dan Piala MFL.

Manakala kekalahan KL City pula, menyaksikan mereka kekal di tangga pertengahan liga menerusi 31 mata selepas 22 aksi setakat ini.

Gol yang dicari akhirnya menjelma di hujung permainan babak pertama apabila pelawat dihadiahkan sepakan penalti.

Ifedayo Olusegun yang mengambil tugas itu mudah menewaskan Azri Ghani untuk meletakkan skuad Hijau Kuning mendahului perlawanan.

Bersambung babak kedua, Ifedayo hampir mencetak gol kedua di minit 48 namun tandukannya berjaya dihalang selepas dia memanfaatkan sepakan penjuru.

Tonggak naturalisasi negara, Paulo Josue yang masuk sebagai pemain gantian hampir menyamakan kedudukan pada minit 51 tetapi sepakan percumanya sekadar melintasi depan gawang Kedah.

Pada minit 64, Sebastian Avanzini berpeluang meledak gol namun dia yang menyambut sepakan percuma Josue hampa apabila tandukannya sedikit tinggi.

Lima minit sebelum masa sebenar tamat, hantaran Amirbek Juraboev yang berjaya meloloskan diri masuk ke kotak penalti sempat dibaca pertahanan KL City sebelum sempat ditampan Ifedayo sekali gus meranapkan hasrat menggandakan kelebihan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 September 2023 @ 11:22 PM