MOUNT mungkin akan dilupakan United kerana tanda harga terlalu tinggi. FOTO Agensi
MOUNT mungkin akan dilupakan United kerana tanda harga terlalu tinggi. FOTO Agensi
Agensi

Manchester: Manchester United tidak berhasrat untuk meningkatkan bidaan mereka untuk mendapatkan Mason Mount, walaupun diramal bakal mencatat rekod pendapatan tahun ini.

Berdasarkan laporan kewangan semasa ia meningkat di antara £630 juta (RM3.7 bilion) - £640 juta (RM3.8 bilion) pada suku ketiga di mana tempoh berakhir pada 31 Mac 2023.

Itu didorong oleh rekod kehadiran penonton dan pendapatan hari perlawanan.

Jualan tiket untuk musim 2022/23 melepasi rekod sebelumnya yang ditetapkan pada 2016-17, dengan 2.4 juta dijual.

Keahlian global juga mencecah 360,000, yang menurut United adalah program keahlian berbayar terbesar dalam sukan dunia.

Hasil bagi suku ketiga meningkat 11 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Bagaimanapun, pembelian pemain baharu tidak akan dipengaruhi dengan peningkatan itu dan menurut sumber yang rapat dengan kelab berkenaan, Erik ten Hag mempunyai dana mencukupi bagi memantapkan pasukan.

United tidak bersedia untuk meningkatkan bidaan terakhir mereka sebanyak £55 juta (RM326 juta) untuk mendapatkan Mount dari Chelsea.

Tiga bidaan yang dilakukan United untuk pemain antarabangsa England itu ditolak dan berada pada tahap mahu meninggalkan perjanjian bagi memberi tumpuan kepada sasaran lain.

Pemain berusia 24 tahun itu menolak syarat baharu musim lalu tetapi tiada tawaran daripada The Blues, dengan kontraknya hampir memasuki 12 bulan terakhir.

United dilaporkan percaya harga yang diminta sebanyak £65 juta (RM386 juta) adalah terlalu tinggi untuk pemain yang boleh disambar secara percuma tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Jun 2023 @ 2:07 PM