HOJLUND dikatakan ingin meninggalkan Atalanta. FOTO Agensi
HOJLUND dikatakan ingin meninggalkan Atalanta. FOTO Agensi
Agensi

Paris: Paris Saint Germain (PSG) mengemukakan bidaan £43 juta (RM251 juta) untuk Rasmus Hojlund dalam percubaan untuk cuba merampas menghalang Manchester United mendapatkan pemain berkenaan.

United membuat tawaran lisan sebanyak £43 juta ditambah £9 juta (RM52 juta) sebagai tambahan untuk pemain berusia 20 tahun itu.

Awal bulan ini tawaran mereka ditolak dengan difahamkan kelab Serie A, Atalanta sedang menunggu tawaran lebih besar.

Menurut The Athletic, PSG tidak bersedia untuk diheret ke dalam perang bidaan dan berkemungkinan akan berundur jika tawaran mereka tidak diterima.

Hojlund, yang menjaringkan sembilan gol di Serie A musim lalu, menyatakan kepada Atalanta bahawa dia mahu meninggalkan kelab berkenaan musim panas ini - sesuatu yang boleh memaksa pasukan Itali itu menurunkan harga yang diminta.

United sangat memerlukan penyerang baharu, tetapi berikutan berita bahawa Kylian Mbappe tidak mungkin melanjutkan tempohnya di Parc des Princes, menyebabkan PSG juga berdepan masalah sama.

Gergasi Ligue 1 itu menerima tawaran £258 juta (RM1.5 bilion) daripada kelab Arab Saudi Al Hilal untuk Mbappe awal minggu ini, namun difahamkan pemain antarabangsa Perancis itu tidak berminat berbincang dengan pasukan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Julai 2023 @ 7:17 PM