CHELSEA dilaporkan mahukan nilai tawaran yang lebih untuk Mount. -FOTO AFP
CHELSEA dilaporkan mahukan nilai tawaran yang lebih untuk Mount. -FOTO AFP
Agensi

London: Tawaran ketiga Manchester United untuk mendapatkan pemain tengah Chelsea, Mason Mount bernilai kira-kira £55 juta (RM327.03 juta) ditolak.

United memberi amaran bahawa mereka tidak lagi akan berunding dengan The Blues jika tawaran itu tidak diterima.

Chelsea dikatakan mahukan sekurang-kurangnya £58 juta (RM344.86 juta) dengan £7 juta (RM41.61 juta) tambahan untuk pemain antarabangsa England itu.

Bagaimanapun, United merasakan angka itu adalah keterlaluan kerana Mount hanya mempunyai baki setahun dalam kontraknya dan perbincangan mengenai pembelian itu sudah dihentikan.

United sebelum ini menawarkan bidaan bernilai sehingga £40 juta (RM237.82 juta) dan £50 juta (RM297.28 juta) untuk Mount namun ditolak oleh pesaing Liga Perdana mereka.

Difahamkan Chelsea memberitahu United bahawa mereka bersedia untuk bertemu untuk menyelesaikan perkara itu.

Pengendali Red Devils, Erik ten Hag mahu Mount menjadi pemain pertama yang diikat musim panas ini kerana beliau ingin mengukuhkan pasukannya selepas mereka layak ke Liga Juara-Juara musim depan.

Terma peribadi tidak dianggap sebagai masalah dan United yakin pemain itu mahu berpindah ke Old Trafford.

Mount, sudah menjaringkan 33 gol dalam 195 penampilan untuk Chelsea sejak membuat penampilan sulung pada 2019, terlepas penghujung musim domestik kerana kecederaan ketika The Blues menduduki tempat ke-12 - penamat terendah mereka selama lebih 25 tahun.

Dia memenangi Liga Juara-Juara pada 2021 bersama Chelsea dan memulakan permainan ketika mereka menang 1-0 ke atas Manchester City pada perlawanan akhir.

Dia juga pernah memenangi Piala Dunia Kelab Fifa dan Piala Super UEFA bersama Blues.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Jun 2023 @ 8:57 AM